Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG hulur bantuan kemanusiaan kelima untuk Gaza; sumbangan keseluruhan kini sekitar S$18 juta

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Nov 2024 07:20PM Dikemas Kini : 02 Nov 2024 07:45AM

SINGAPURA: Singapura akan menghantar agihan kelima bantuan kemanusiaan ke Gaza. Dengan ini, jumlah sumbangan Singapura bagi Gaza adalah sekitar S$18 juta.

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Jumaat (1 Nov) menyaksikan penyerahan bantuan terkini Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada UNICEF, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Kementerian itu turut menarik perhatian bahawa RLAF akan menyumbang S$700,000 daripada kempen pengumpulan dana yang berterusan untuk Gaza bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan UNICEF.

Bantuan terkini itu juga termasuk sumbangan AS$200,000 (S$265,000) daripada MFA kepada RLAF.

Kempen mengumpul dana RLAF akan diteruskan sehingga 13 Dis, dengan baki dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Jordan Hashemite Charity Organisation dan Humanity Matters.

"Bantuan terbaharu ini adalah sebahagian daripada sumbangan berterusan Singapura untuk meringankan penderitaan di Gaza," menurut MFA.

Sejak 7 Okt 2023, Pemerintah Singapura dan pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan telah bekerjasama dengan Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus untuk menghulurkan sumbangan bernilai sekitar S$18 juta untuk Gaza.

Singapura menghantar bantuan keempatnya untuk Gaza pada Julai lalu. Bantuan ketiga pada Mac termasuk bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara ke Gaza.

"Singapura kekal komited untuk menghulurkan sokongan kemanusiaan kepada para penduduk yang terjejas di Gaza, bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa seperti UNICEF dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan tepat pada masanya," menurut MFA pada Jumaat (1 Nov).

“Kami mengulangi gesaan kami untuk memeterai gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, serta pembebasan tanpa syarat, segera dan selamat bagi semua tebusan.

"Kami juga menggesa semua pihak membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di Gaza."

Di acara penyampaian cek itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata krisis kemanusiaan di Gaza semakin bertambah buruk sepanjang setahun lalu, dengan Program Makanan PBB memberi amaran bahawa wilayah itu di ambang kebuluran.

"Ini dan segala keperitan yang dialami oleh mereka yang ada di Gaza sangat menyayat hati. Rumah yang musnah, atau keluarga yang berpecah belah atau terpisah, adalah ciri-ciri yang meruntun hati sanubari sesiapa sahaja yang menyaksikannya di mana-mana sahaja – di media ataupun di televisyen," jelas Encik Masagos.

Beliau turut menekankan bahawa semua itu menunjukkan bahawa tindakan tentera Israel dengan jelas telah "melampaui batas".

Encik Masagos juga berkongsi bahawa beliau telah berpeluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada pihak Jordan dan UNICEF tentang cabaran-cabaran yang dihadapi untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan ke Gaza semasa lawatannya ke Jordan dua bulan yang lalu.

Dalam pada itu, beliau berbesar hati atas kesungguhan badan-badan kemanusiaan seperti UNICEF dan RLAF yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada para penduduk di Gaza, walau apa sekalipun.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan