Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG henti tawar vaksin COVID-19 Novavax XBB1.5 mulai 1 Jan 2025

Anggaran Waktu Membaca:
SG henti tawar vaksin COVID-19 Novavax XBB1.5 mulai 1 Jan 2025

Vaksin COVID-19 Nuvaxovid. (Gambar: Nicolas Maeterlinck/Belga/AFP)

Diterbitkan : 03 Dec 2024 04:58PM Dikemas Kini : 03 Dec 2024 04:59PM
SINGAPURA: Vaksin COVID-19 Novavax/Nuvaxovid XBB1.5 tidak lagi akan disediakan di bawah program vaksinasi nasional mulai 1 Jan tahun depan.

Suntikan vaksin COVID-19 yang dikemas kini itu telah disediakan di bawah program vaksinasi nasional pada Mei tahun ini.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa (3 Dis), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa vaksin itu tidak lagi dibekalkan oleh pihak pengilang dan stok yang ada di Singapura akan tamat tempoh pada 31 Dis.

Menurut MOH, individu layak yang ingin menerima suntikan vaksin sedia ada perlu berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum 31 Dis.

Para individu yang menerima vaksin tersebut sebagai dos tambahan harus berbuat demikian sekitar satu tahun, dan sekurang-kurangnya lima bulan dari dos vaksin terakhir, menurut MOH.

MOH menambah bahawa Novavax sedang dalam proses memfailkan kelulusan kawal selia untuk vaksin COVID-19 yang dikemas kini.

Kemas kini lanjut akan diberikan apabila syarikat itu berjaya memfailkan kelulusan kawal selia dan bekalannya disediakan di Singapura, dedah MOH selanjutnya.

Vaksin COVID-19 Sinovac tidak lagi ditawarkan di bawah program tersebut sejak hujung September tahun ini.

MOH kemudian menyatakan bahawa Penguasa Sains Kesihatan (HSA) tidak menerima sebarang permohonan untuk vaksin Sinovac didaftarkan sepenuhnya.

Vaksin mRNA JN.1 yang dikemas kini - PfizerBioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax - akan terus disediakan di bawah program vaksinasi nasional.

Kedua-duanya telah diluluskan oleh HSA, menurut MOH pada Oktober.

Para individu boleh menempah slot janji temu di klinik Lebih Sihat SG atau di poliklinik melalui sistem tempahan HealthHub.

Pasukan vaksinasi bergerak yang menawarkan vaksin COVID-19 akan terus dikerahkan ke merata Singapura, kata MOH.

"Kami menggalakkan semua orang, terutamanya mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas atau yang rentan dari segi perubatan, untuk sentiasa mengemas kini vaksinasi mereka berdasarkan saranan semasa," tambah MOH.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan