Skip to main content

Singapura

SG harus rebut peluang media global atau berisiko ketinggalan: Tan Kiat How

Singapura sedang memperhebat usaha untuk memikat studio antarabangsa utama dan gergasi penstriman, dengan harapan dapat mencipta kandungan dalam pelbagai format yang dapat menarik para penonton dari seluruh dunia.
Anggaran Waktu Membaca:
SG harus rebut peluang media global atau berisiko ketinggalan: Tan Kiat How

Poster-poster di Festival Media Singapura 2025, mempromosikan drama jenayah dystopian terbitan Mediacorp, The Leftovers.

Diterbitkan : 17 Dec 2025 01:08PM
  • Singapura sedang memperhebat usaha untuk memikat studio antarabangsa utama dan gergasi penstriman, dengan harapan dapat mencipta kandungan dalam pelbagai format yang dapat menarik para penonton dari seluruh dunia.
  • Program selama tiga tahun bernilai S$200 juta itu dilancarkan pada 3 Disember lalu di Forum dan Pasaran Asia TV 2025, bertujuan membangunkan cerita dengan daya tarikan global dan mengukuhkan peranan Singapura sebagai hab pengeluaran bersama.
  • Salah satu trend media yang disambut baik di seluruh dunia, kata Encik Tan adalah minat yang semakin meningkat terhadap kandungan Asia.
  • Memandang ke hadapan, Encik Tan percaya Singapura mempunyai ruang yang kritikal tetapi sensitif masa untuk mengukuhkan peranannya sebagai sebuah hab inovasi media global - namun memberi amaran kegagalan untuk bertindak segera boleh mencetuskan kesan akibat.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura sedang memperhebat usaha untuk memikat studio antarabangsa utama dan gergasi penstriman, dengan harapan dapat mencipta kandungan dalam pelbagai format yang dapat menarik para penonton dari seluruh dunia.

Dorongan strategik itulah yang Menteri Negara Kanan bagi Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How percaya adalah penting untuk membantu industri media kreatif Singapura kekal di hadapan.

Dalam satu wawancara dengan Mediacorp pada 4 Disember, beliau memberi amaran Singapura mungkin kehilangan kelebihan daya saingnya di pentas global jika ia tidak bersaing.

Orang ramai kini menonton lebih banyak kandungan pada skrin daripada panggung wayang dan televisyen hingga ke telefon bimbit dan platform digital baharu.

Pada masa yang sama, teknologi-teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) membentuk semula bagaimana cerita-cerita dibangunkan, dihasilkan dan diedarkan.

Gangguan itu merupakan satu cabaran dan juga satu peluang, kata Encik Tan.

"Terdapat keinginan baharu bagi kisah-kisah menarik untuk dikongsi. Dahulu, anda mempunyai media arus perdana dari negara-negara Barat atau animasi Jepun, tetapi kini terdapat permintaan tinggi bagi kandungan dalam pelbagai format TV dan kisah-kisah yang berbeza," katanya.

Bagi merebut peluang itu, Encik Tan baru-baru ini melancarkan salah satu daripada inisiatif media Singapura yang paling bercita-cita tinggi setakat ini, iaitu Program Pemacu Bakat (TAP).

Program selama tiga tahun bernilai S$200 juta itu dilancarkan pada 3 Disember lalu di Forum dan Pasaran Asia TV 2025, bertujuan membangunkan cerita dengan daya tarikan global dan mengukuhkan peranan Singapura sebagai hab pengeluaran bersama.

Program itu akan mereka laluan berstruktur bagi bakat-bakat di setiap peringkat kerjaya mereka.

Sebagai contoh, para pencipta kandungan muda akan menerima bimbingan (mentorship) daripada golongan veteran dalam industri serta mendapat akses kepada kelas induk (masterclass) yang dikendalikan oleh pakar-pakar antarabangsa yang pernah memenangi anugerah.

"Terdapat ramai yang bukan sekadar menjadi penulis filem atau skrip, tetapi mereka mahu mendalami keupayaan teknikal dan kini mempunyai laluan untuk berbuat demikian," kata Encik Tan.

MINAT TERHADAP KANDUNGAN ASIA

Salah satu trend media yang disambut baik di seluruh dunia, kata Encik Tan adalah minat yang semakin meningkat terhadap kandungan Asia.

Encik Tan menukil contoh seperti drama Korea Selatan Squid Game, serta siri manga dari Jepun Demon Slayer dan animasi cerita rakyat fantasi Ne Zha.

"Terdapat minat bagi kandungan Asia, jadi ia sesuai dengan kekuatan kita," katanya.

Selain itu, Singapura - terletak di "kedudukan baik di persimpangan Timur dan Barat" - boleh menjadi jambatan kreatif antara kedua-dua budaya, kata Encik Tan.

Namun untuk berbuat demikian, beliau menegaskan bahawa industri mesti melihat di luar tanggapan tradisional tentang apa itu "kandungan Singapura".

"Ia bukan tentang mengongsikan kisah-kisah Singapura. Ia bukan sekadar tentang kandungan yang dicipta dan dihasilkan sepenuhnya oleh rakyat Singapura atau syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura. Anda perlu fikirkan tentang kandungan Singapura secara lebih meluas," katanya.

Sebaliknya, Encik Tan berkata perlunya bagi pendekatan "dihasilkan bersama Singapura" - kandungan yang dihasilkan dengan kerjasama para pemain global, tetapi memaparkan bakat-bakat rakyat Singapura, teknologi atau pengaruh kreatif.

PENINGKATAN DRAMA MIKRO

Satu lagi trend dalam sekitaran media yang sangat berdaya saing kini adalah drama-mikro - iaitu video episod singkat dengan tempoh durasi beberapa minit sahaja.

"Ia sangat popular di China, saya diberitahu bahawa keseluruhan hasil pendapatan daripada penerbitan drama mikro mengatasi keseluruhan pendapatan box office di pawagam China.

"Dan ini agak mengejutkan kerana pendapatan box office di China masih meningkat. (Tetapi) format ini semakin popular di seluruh dunia," kata Encik Tan.

Penyiar tradisional, termasuk Mediacorp, sedang menguji cuba format tersebut, katanya.

"Malah pemain kita dalam ruang lebih tradisional dan konvensional juga mula mendakap format-format baharu dan teknologi baharu, dan itu seharusnya menjadi cara kita," katanya.

Selain kandungan format ringkas, inovasi teknologi juga membentuk semula aliran kerja, kata Encik Tan.

Alat pengeluaran kandungan secara maya, yang membolehkan pembuat filem mencipta persekitaran digital tanpa perlu berada di lokasi, mengurangkan kos dan mengembangkan kemungkinan kreatif.

Alat itu boleh membantu Singapura mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran global, tambah Encik Tan.

RUANG BAGI PENAMBAHBAIKAN, MEMANDANG KE HADAPAN

Akur tentang jurang dalam ekosistem media Singapura, Encik Tan berterus terang tentang batasan negara.

"Kita tidak dapat bersaing dari segi kos. Kita bukan tempat paling murah untuk melakukan penggambaraan, atau etmpat di mana anda boleh mencari lokasi di mana kos pengeluaran adalah terendah, tetapi kita bersaing dari segi nilai.

"Kita bersaing dari segi keupayaan yang anda mungkin tidak dapat cari di mana-mana tempat di rantau ini," katanya.

"Ia adalah dengan pemikiran sedemikian dan dengan TAP untuk menyatukan ekosistem - daripada pembangunan hingga ke penghasilan projek, pengedaran, pasaran, pembiayaan IP dan sebuah sekitaran perniagaan."

Momentum di Festival Media Singapura tahun ini, sebagai contoh, menarik perhatian kepada kerelevanan Singapura yang semakin berkembang sebagai sebuah hab bagi kerjasama serantau dan antarabangsa, kata Encik Tan.

Beliau menambah kedudukan Singapura sebagai rakan kongsi neutral dan boleh diyakini menjadikannya satu destinasi menarik bagi studio-studio global untuk menghasilkan bersama kandungan bagi penonton di Asia dan antarabangsa.

Memandang ke hadapan, Encik Tan percaya Singapura mempunyai ruang yang kritikal tetapi sensitif masa untuk mengukuhkan peranannya sebagai sebuah hab inovasi media global - namun memberi amaran kegagalan untuk bertindak segera boleh mencetuskan kesan akibat.

"Jika kita tidak merebut peluang ini... saya rasa kita akan ketinggalan dari segi kerelevenan dan daya persaingan kita, sama seperti kebanyakan bidang kuasa dan pasaran lain yang juga mahu berada di kedudukan yang sama," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita