Skip to main content

Singapura

SG harus pupuk bakat dalam robotik, AI demi kekal berdaya saing

Singapura harus memupuk generasi baharu bakat dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) demi kekal di hadapan dalam dunia yang semakin automatik, kata pengarah eksekutif Program Robotik Kebangsaan (NRP) Tung Meng Fai.
Anggaran Waktu Membaca:
SG harus pupuk bakat dalam robotik, AI demi kekal berdaya saing
Singapura perlu lahirkan generasi baharu bakat dalam robotik dan kecerdasan buatan (AI) untuk kekal berdaya saing. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Singapura harus memupuk generasi baharu bakat dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) demi kekal di hadapan dalam dunia yang semakin automatik, kata pengarah eksekutif Program Robotik Kebangsaan (NRP) Tung Meng Fai.

Gesaan itu dibuat sedang Singapura berusaha merebut peluang dalam landskap robotik global, di mana para jurutera, penyelidik dan pencipta akan memainkan peranan penting.

"Terdapat permintaan tinggi sekarang bagi kepakaran robotik," kata Encik Tung kepada Mediacorp pada Khamis lalu (27 Nov).

"Dengan perkembangan AI dalam robotik, kita juga perlukan bakat merentasi disiplin, justeru saluran bakat ini adalah penting bagi menyokong pertumbuhan ekosistem kita di Singapura."

Persekutuan Robotik Antarabangsa menganggarkan penggunaan robot perindustrian di seluruh dunia akan mencapai 708,000 menjelang 2028 - iaitu kenaikan 30 peratus daripada 542,000 unit pada tahun lalu.

PERMINTAAN ROBOTIK SEMAKIN MENINGKAT

Robot-robot digunakan dalam kilang, hospital dan ruang runcit dan ia semakin berkeupayaan dan dapat melakukan tugas yang sebelum ini memerlukan pertimbangan dan penyelarasan manusia.

Oleh demikian, permintaan semakin meningkat bagi para pekerja yang mahir dalam bidang robotik dan AI, yang semakin dapat menentukan kemampuan sesebuah robot.

"Robot menjadi lebih berkemampuan," kata Encik Tung.

"Kini mereka boleh mengesan persekitaran dengan lebih baik. Mereka bukan sahaja beroperasi berdasarkan algoritma berstruktur yang sudah pun diprogramkan, tetapi ia juga boleh berfikir, membuat keputusan tertentu dan kemudian bertindak berdasarkan keputusan itu."

Namun, cabaran masih wujud kerana sesetengah syarikat sukar mendapatkan pekerja.

Sesetengah jawatan mungkin kekal kosong selama lebih enam bulan, dan syarikat-syarikat sering terpaksa mencari tenaga kerja dari luar negara untuk mengisi jawatan kosong itu.

"Cabaran dengan bakat ini adalah satu fenomena global," kata Encik Tung, sambil menambah pertumbuhan pesat robotik dan AI terkandung (embodied AI) menarik minat dan keterujaan dari seluruh dunia.

Syarikat-syarikat di seluruh dunia kini sedang berlumba untuk mendapatkan pekerja dengan kemahiran yang betul, dan mereka dengan benar-benar berkemampuan selalunya diambil dengan cepat, katanya.

Di Singapura, institusi-institusi sedang meningkatkan usaha dengan mengembangkan program robotik masing-masing bagi memenuhi permintaan, sementara rakan-rakan industri sedang meneroka cara untuk membina dan mengekalkan kumpulan bakat yang kukuh.

Berhubung apa lagi yang boleh dilakukan bagi membantu bakat-bakat tempatan bersaing dengan ekonomi lebih besar seperti Amerika Syarikat dan China, Encik Tung berkata: "Kita mempunyai banyak bakat tempatan yang baik dalam robotik dan AI terkandung.

"Jika anda bandingkan Singapura... dengan semua ekonomi-ekonomi lebih besar (di mana) saiz penduduknya lebih besar, secara statistik, anda tentu akan mendapati jumlahnya lebih kecil. Tetapi kita selalu menunjukkan prestasi baik dari segi per kapita."

Beliau menambah ramai rakyat Singapura yang berkemampuan menyumbang secara bermakna kepada bidang itu - bukan sahaja mereka yang berpangkalan di Singapura, tetapi juga mereka yang bekerja di luar negara.

"Apa yang NRP cuba lakukan adalah untuk cuba membina rangkaian ini bersama rakyat Singapura di luar negara serta bakat-bakat tempatan kita, dan juga dengan bakat-bakat antarabangsa, untuk menyatukan mereka bagi memupuk perkongsian idea, pandangan (dan) perspektif)," katanya.

KEBIMBANGAN DI TENGAH-TENGAH PERALIHAN TEKNOLOGI

Namun, tajuk berita utama mengenai pemberhentian kerja menimbulkan ketidakpastian, dengan peranan peringkat permulaan menyusut lebih daripada suku jumlahnya dan sesetengah pihak pula bimbang jikalau teknologi lebih canggih akan menggantikan mereka.

"Malangnya, filem sains fiksyen kadangkala menghasilkan salah tanggapan bahawa robot-robot itu akan berfungsi seperti Terminator," kata Encik Tung, sambil merujuk kepada watak cyborg dalam siri filem Terminator.

Beliau menambah: "Namun pada hakikatnya, teknologi untuk mencipta robot yang berkeupayaan seperti manusia masih jauh lagi. Masih banyak yang perlu dilakukan."

Beliau juga menarik perhatian kepada pengiktirafan global yang semakin meningkat tentang keperluan mengawal selia untuk memastikan robot-robot direka untuk melengkapi dan membantu manusia, dan bukan menggantikannya.

"Seperti mana-mana teknologi, tentu sekali akan berlaku transformasi industri," kata Encik Tung.

Seiring dengan itu, orang ramai harus dapat beralih ke jawatan yang bernilai lebih tinggi "di mana mereka benar-benar boleh menyumbang", tambahnya.

Sedang penduduk Singapura semakin menua, para pengamat percaya automasi menjadi semakin penting bagi merapatkan jurang tenaga kerja antara industr.

"Terdapat had kepada sejauh mana kita boleh bergantung kepada tenaga kerja hijrahan, disebabkan oleh saiz kita," kata Encik Tung.

“Jika kita mahu terus berkembang sebagai sebuah negara (dan) terus menjaga masyarakat kita, robotik dan automasi, bersama AI, harus memainkan peranan dalam menangani beberapa isu yang sangat mencabar ini.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita