Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG harus pastikan perbelanjaan jagaan kesihatan tidak melambung naik di luar kawalan

Anggaran Waktu Membaca:
SG harus pastikan perbelanjaan jagaan kesihatan tidak melambung naik di luar kawalan

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berucap di Parlimen pada 10 Mei 2023.

Diterbitkan : 10 May 2023 07:36PM Dikemas Kini : 10 May 2023 08:27PM

SINGAPURA: Singapura perlu memastikan perbelanjaan bagi jagaan kesihatan, dalam nisbahnya kepada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP), tidak naik terlalu tinggi dan tidak terkawal.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata sudah diketahui umum bahawa perbelanjaan jagaan kesihatan yang lebih besar, tidak semestinya menghasilkan keadaan kesihatan yang lebih baik.

"Dalam beberapa tahun akan datang, cabaran kami bukan untuk berbelanja dengan lebih banyak, tetapi untuk memastikan kita tidak mengikut langkah kebanyakan negara Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), dengan beban fiskal jagaan kesihatan melonjak di luar kawalan," katanya pada Rabu (10 Mei) di Parlimen. 

Beliau menjawab perkara-perkara yang ditimbulkan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Leong Mun Wai semasa perbahasan dua hari mengenai usul menyokong jagaan kesihatan, pada Rabu (10 Mei).

Encik Leong berkata pemerintah tidak memberi sumbangan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan jagaan kesihatan.

Beliau merujuk kepada perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan bahawa pemerintah Singapura menampung 43 peratus jagaan kesihatan dalam tahun 2019.

Jumlah itu jauh lebih rendah daripada kadar 75 peratus di negara-negara OECD.

"Warga Singapura menanggung kos jagaan kesihatan dunia pertama tetapi menerima sokongan kewangan jauh lebih rendah daripada dunia pertama daripada pemerintah," kata Encik Leong pada Selasa.

Lantaran itu, beliau menggesa pemerintah supaya membantu warga Singapura mengharungi kos jagaan kesihatan yang kian meningkat bagi mengurangkan ketidaksamaan sosial.

Menjawab, Encik Ong sebaliknya berkata Singapura telah dapat memastikan bayaran jagaan kesihatan berada dalam kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Menteri Kesihatan, sekitar 70 peratus rakyat Singapura yang dirawat di wad-wad hospital bersubsidi, tidak perlu mengeluarkan duit saku bagi membayarnya.

Encik Ong juga berkata peruntukan belanjawan bagi Kementerian Kesihatan (MOH) adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pertahanan.

Beliau menambah, pelbagai jaringan keselamatan yang disediakan, berfungsi dengan baik.

Dalam ucapannya, Encik Ong turut mengucapkan terima kasih kepada Anggota Parlimen Dilantik, (NMP), kerana menyokong bagi sistem jagaan kesihatan yang lebih baik untuk semua orang.

Beliau memberi jaminan kementeriannya akan memberi perhatian kepada semua isu yang dibangkitkan mereka.

Tempoh penggal para NMP sekarang sudah berakhir.

Sumber : CNA/MU/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan