Skip to main content

Singapura

SG harus berusaha lebih bagi rebut peluang dalam keadaan global yang rumit: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
SAN FRANCISCO: Peluang tetap ada sekalipun dalam keadaan global yang rumit dan Singapura harus meletakkan dirinya dalam kedudukan untuk merebutnya.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (17 Nov), sedang beliau menekankan perlunya untuk negara ini kekal terbuka kepada seluruh dunia.

"Sekalipun dalam keadaan dunia yang rumit, peluang-peluang masih ada dan kita tidak berada di kedudukan terakhir dalam senarai untuk merebut peluang tersebut. Malah, kita berada di kedudukan agak tinggi dalam senarai itu, dan kita harus berada lebih tinggi," kata PM Lee.

Ini merupakan mesej yang ditumpukan PM Lee semasa lawatan kerja enam hari ke California.

Beliau merasmikan pelancaran Pusat Perusahaan Luar Negara Singapura untuk memudahkan kemasukan syarikat Amerika ke Singapura, melawat pejabat gergasi teknologi - iaitu Apple dan Google - serta bertemu para pemimpin perniagaan Amerika selain agenda rasmi APEC.

Beliau juga bertemu para usahawan Singapura yang meluaskan perniagaan mereka atau menubuhkan perniagaan di San Francisco Bay Area, di majlis jamuan untuk rakyat Singapura di luar negara.

PM Lee berkata ia "sangat memberangsangkan" untuk menyaksikan rakyat Singapura memulakan syarikat mereka di Amerika Syarikat, kemudian membawa syarikat tersebut kembali ke Singapura dan membuka cawangan di tanah air sendiri.


PM Lee, yang berkemungkinan besar ini merupakan sidang puncak APEC terakhir beliau sebagai Perdana Menteri, selepas mengumumkan beliau akan meletak jawatan tahun depan, menarik perhatian bahawa suasana sejagat sudah berubah sejak forum ekonomi itu dimulakan 30 tahun dahulu.

Singapura kini harus mencari jalan dalam persekitaran yang kurang terbuka, dalam keadaan yang tidak dapat dijangka dan pilihan yang terhad, katanya.

Namun, Singapura tidak mempunyai pilihan selain untuk terus bergantung kepada perdagangan bebas dan bekerjasama dengan negara-negara lain.

PERJANJIAN PERDAGANGAN INDO-PASIFIK

Salah satu tanda tentang bagaimana dunia sudah menjadi lebih rumit terletak kepada kumpulan ekonomi serantau yang wujud.

Seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Perkongsian Rentas Pasifik (CPTPP), Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

IPEF, yang dilancarkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden di Tokyo pada Mei lalu, bertujuan untuk menawarkan alternatif bagi sekutu Amerika, terhadap kehadiran komersial China yang semakin berkembang di Asia Pasifik.

Walaupun IPEF memeterai perjanjian tenaga bersih, langkah-langkah antirasuah dan daya tahan rantaian bekalan di APEC, tiada perjanjian dicapai terhadap "tunggak" perdagangan, yang menghampakan negara anggota APEC.

Menjawab soalan tentang sama ada IPEF akan terus "berdepan masalah" untuk menyampaikan manfaat perdagangan, PM Lee berkata perdagangan adalah "perkara yang sukar di kebanyakan negara terutama di Amerika".

PM Lee berkata meskipun terdapat "kemajuan besar" pada tunggak perdagangan IPEF, keadaan politik di Washington mungkin akan menyukarkan keadaan.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita