Skip to main content

Singapura

SG harap langkah diambil wujudkan mekanisme lebih cekap, berkesan untuk hantar bantuan ke Gaza: Hawazi Daipi

Anggaran Waktu Membaca:
SG harap langkah diambil wujudkan mekanisme lebih cekap, berkesan untuk hantar bantuan ke Gaza: Hawazi Daipi

(Gambar: Eyad BABA / AFP)

Diterbitkan : 12 Jun 2024 03:07PM Dikemas Kini : 12 Jun 2024 08:58PM
SINGAPURA: Singapura berharap langkah-langkah diambil bagi mewujudkan mekanisme lebih cekap dan berkesan untuk menghantar bantuan ke Gaza. Ini bagi membolehkan lebih banyak bantuan yang dapat menyelamatkan nyawa sampai dengan cepat kepada orang-orang awam yang memerlukannya.

Demikian ditekankan oleh Wakil Singapura ke Penguasa Palestin, Encik Hawazi Daipi, semasa menyampaikan ucapannya di persidangan “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” (Seruan Bertindak: Tindak Balas Kemanusiaan Segera bagi Gaza), di Jordan pada Selasa (11 Jun).

Menurut Encik Hawazi, Singapura sendiri akan terus meneroka peluang-peluang untuk menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan untuk Gaza dan berganding bahu dengan rakan-rakan pertubuhan untuk memastikan bantuan sampai dengan cepat dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.

"NGO (Pertubuhan Bukan Pemerintah) kami, seperti Persatuan Palang Merah Singapura dan Mercy Relief, juga sedang mengusahakan rancangan untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan yang sangat-sangat diperlukan serta menyokong operasi bantuan yang masih dijalankan," kata Encik Hawazi, menghadiri persidangan itu sebagai Utusan Khas Menteri Ehwal Luar.

Setakat ini, Pemerintah Singapura sudah bekerjasama dengan Mesir dan Jordan untuk menghantar tiga pusingan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terjejas.

Pada Mac, Singapura mengerahkan pesawat C-130 atas undangan kerajaan Jordan, untuk menggugurkan lebih 20 tan bekalan makanan atau sekitar 60,000 makanan, di Gaza selama dua minggu.

Singapura juga mengerahkan pasukan perubatan di atas kapal FS Dixmude Angkatan Bersenjata Perancis pada Januari 2024 untuk membantu merawat mangsa warga Palestin.

Rakyat Singapura juga dengan murah hati menghulurkan derma kepada usaha mengumpul dana yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah. Lebih S$15.5 juta berjaya dikumpulkan setakat ini.

Menerusi ucapannya, Encik Hawazi turut mengulangi gesaan Singapura bagi gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan dan semua pihak membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan dilakukan secara selamat dan tanpa hambatan.

"Kami juga terus menggesa agar semua tebusan dibebaskan segera dengan selamat dan tanpa syarat. Kami mahu penderitaan kemanusiaan yang sudah berlarutan terlalu lama ini berakhir," ujar Encik Hawazi.

Singapura juga mengulangi sokongannya kepada huraian dua negara dan ini konsisten dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tambah Encik Hawazi.

"Ini satu-satunya cara untuk mencapai huraian menyeluruh, adil dan berdaya tahan kepada konflik Israel-Palestin," kata beliau lagi.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Raja Jordan Abdullah II, Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres. Ia membincangkan cara-cara untuk menangani keperluan penting kemanusiaan yang timbul disebabkan krisis berlarutan di Gaza dan bagaimana masyarakat antarabangsa boleh menyokong usaha menghantar bantuan.

Di luar persidangan tersebut, Encik Hawazi bertemu dengan Menteri Kesihatan Penguasa Palestin (PA) Dr Maged Abu Ramadan, Menteri Pembangunan Sosial Dr Samah Abuoun Hamad dan Menteri Negara Ehwal Bantuan Minister Basel Nasser.

Para pemimpin itu mengesahkan hubungan muhibbah antara Singapura dengan PA.

Encik Hawazi juga menekankan komitmen Singapura untuk menyokong usaha membangunkan keupayaan PA dalam bidang-bidang seperti jagaan kesihatan, pendidikan dan pentadbiran awam.

Lebih 750 pegawai PA sudahpun meraih manfaat daripada program-program latihan dan biasiswa possiswazah yang diberikan oleh Singapura sejauh ini.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita