SG haramkan pementasan 'Homepar' kerana gugat dasar antidadah, jejas keyakinan awam terhadap CNB
Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) menyatakan pada Jumaat (20 Jun) ia telah mengharamkan pementasan syarikat teater Wild Rice kerana mengganggu gugat dasar antidadah dan menjejas keyakinan awam terhadap Biro Narkotik Pusat (CNB).

Pintu masuk Wild Rice @ Funan. (Gambar: laman web WIld Rice)
Skrip yang disemak bagi bacaan dramatik, bertajuk Homepar, diserahkan pada 5 Jun, dengan IMDA menilainya sebagai melanggar Kod Klasifikasi Hiburan Seni (AECC).
Ia dilakukan selepas berunding dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), tambahnya.
IMDA menarik perhatian bahawa skrip yang disemak itu "melalui perubahan ketara" berbanding versi yang dihantar pada 21 April.
"Skrip baharu memaparkan dan mengagungkan penyalahgunaan dadah dan menampilkan seorang pegawai CNB dalam penyamaran, yang melindungi para pesalah daripada dikesan," tambahnya.
"Ia melemahkan dasar antidadah Singapura, rejim pemulihan dadah kita dan keyakinan awam terhadap CNB.
"Pementasan yang menjejas kepentingan negara Singapura tidak dibenarkan di bawah AECC."
IMDA menyatakan ia sebelum ini telah memaklumkan Wild Rice bahawa skrip yang dihantar sebelum ini memenuhi keperluan klasifikasi dan boleh dipentaskan di bawah rating R18.
"Namun, Wild Rice memilih untuk tidak menggunakan versi tersebut," menurut IMDA.
"Oleh demikian, IMDA melarang persembahan itu dalam bentuk sedia adanya."
IMDA mengulangi semula pendekatan tegas Singapura terhadap dadah yang kekal tidak berubah dan ia akan terus menegakkan AECC demi "melindungi kepentingan negara".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.