SG-Greece harap kebebasan perkapalan perairan antarabangsa pulih
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Singapura dan Greece berharap kebebasan laluan perkapalan di perairan antarabangsa dapat dipulihkan, serta menamatkan permusuhan di Timur Tengah secepat mungkin.
Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menambah bahawa hak kepada kebebasan perkapalan dan penerbangan wajar ditegaskan semula dalam masa ketegangan dan peperangan.
Dr Vivian Balakrishnan berkata demikian dalam sidang media di Athens bersama rakan sejawatannya dari Greece.
"Dengan itu, saya jelas merujuk kepada kedua-dua Selat Hormuz, serta satu lagi selat yang lebih dekat dengan kita di Selat Melaka dan Singapura, yang nasib baik berada di bahagian dunia yang selamat dan stabil. Maksudnya, di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), kebebasan perkapalan di selat-selat yang digunakan untuk laluan antarabangsa ini adalah satu hak. Ia bukan sesuatu yang diberikan atas kemurahan hati atau ihsan daripada negara pesisir," kata Dr Balakrishnan.
Singapura dan Greece juga sedang berusaha untuk memperdalam kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, perkhidmatan digital, hijau dan maritim.
Dr Balakrishnan berharap Greece boleh menggunakan Singapura sebagai pintu masuk ke rantau ini dan Asia Pasifik yang lebih luas.
Para pemimpin juga membincangkan bagaimana Kesatuan Eropah (EU) boleh berbuat lebih banyak dengan ahli-ahli ASEAN,
serta negara-negara dalam pakatan perdagangan rentas Pasifik.
Singapura dan Greece menyambut 60 tahun hubungan diplomatik tahun ini.
"Apa sahaja yang anda lakukan dengan Singapura adalah pencari arah untuk melakukan lebih banyak lagi antara rantau masing-masing. Kami percaya semakin rapat kami boleh bekerjasama dengan anda, semakin baik. Kami juga menantikan tahun 2027 apabila anda menjadi Presiden EU dan Singapura menjadi pengerusi ASEAN. Ini akan memberi kami satu lagi peluang untuk memperdalam hubungan antara EU dengan ASEAN," tambah Dr Balakrishnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.