Skip to main content

Singapura

SG gesa Thailand, Kemboja kawal diri; selesaikan pertikaian sempadan melalui dialog

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Dec 2025 10:24AM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 10:18PM

SINGAPURA: Singapura menggesa Thailand dan Kemboja supaya mengawal diri daripada berbalas serangan dan menghuraikan perbezaan mereka melalui dialog di tengah-tengah pertempuran sempadan yang semakin meingkat.

"Singapura sangat prihatin dengan penyambungan semula pertempuran baru-baru ini di sempadan Thai-Kemboja dan laporan mengenai korban jiwa di kedua-dua pihak," menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada Rabu (10 Dis).

"Kami menyeru kedua-dua negara supaya mengawal diri dan menyelesaikan perbezaan melalui dialog dan rundingan, mengikut semangat dan prinsip Deklarasi Bersama."

Ia adalah penting bagi hubungan jangka panjang antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu dan ASEAN, menurut MFA.

Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin (8 Dis), dengan kedua-dua pihak saling tuduh menuduh satu sama lain kerana mencetuskan semula pertempuran di sempadan yang dipertikaikan yang mengorbankan enam orang awam Kemboja dan seorang askar Thailand, dengan kira-kira 35,000 penduduk di Thailand sudah pun dipindahkan daripada kawasan sempadan.

MFA turut menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke kawasan konflik di wilayah sempadan Thai-Kemboja.

"Rakyat Singapura di Kemboja dan Thailand dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan berita dari sumber-sumber rasmi, mematuhi nasihat pemerintah tempatan dan kekal berwaspada demi keselamatan peribadi," menurut MFA.

Rakyat Singapura yang berada di atau melancong ke Thailand atau Kemboja dinasihatkan untuk melakukan pendaftaran elektronik di laman web MFA jika mereka belum berbuat demikian.

Mereka yang sudah berada di Kemboja dan Thailand dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura masing-masing di Phnom Penh atau Bangkok atau Pejabat Bertugas MFA 24 jam.

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita