Skip to main content

Singapura

SG gesa PBB kawal kuasa veto, susun semula Majlis Keselamatan agar lebih inklusif

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Sep 2025 07:37AM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 11:32AM
SINGAPURA: Singapura menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal peningkatan penggunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan, sambil memberi amaran bahawa amalan itu menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Semasa menyampaikan Kenyataan Negara itu di Perhimpunan Agung PBB di New York pada Ahad (28 Sep), Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata kuasa veto sedang digunakan dengan kerap yang semakin meningkat ketika konflik semakin meluas.

"Peningkatan itu, dan jika saya boleh menambah, penggunaan kuasa veto oleh kelima-lima anggota tetap mesti dikawal," kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa keanggotaan PBB yang lebih luas mesti mencapai persetujuan tentang cara kuasa veto dilaksanakan pada masa akan datang.

"Sama seperti dunia telah berubah secara mendadak dalam tempoh 80 tahun yang lalu, jelas juga bahawa PBB perlu melakukan penyusunan semula agar sesuai untuk tujuan seterusnya," kata Dr Balakrishnan. "Kita memerlukan lebih wakil dan PBB yang lebih inklusif yang mencerminkan realiti semasa."

Lima anggota tetap Majlis Keselamatan - China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat - memegang kuasa veto, yang membenarkan mana-mana negara daripada mereka berlima untuk menyekat penerimaan mana-mana resolusi substantif, tanpa mengira berapa banyak sokongan yang dimilikinya dalam kalangan anggota dewan yang lain.

Awal bulan ini, Amerika Syarikat memveto buat kali keenam draf resolusi yang akan menuntut gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan, dengan menyatakan bahawa resolusi tersebut gagal mengutuk Hamas atau mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri. Kesemua 14 anggota majlis yang lain mengundi untuk menyokong resolusi itu.

Dr Balakrishnan sekalipun akur tentang peranan para anggota yang dilantik majlis itu, berkata kehadiran mereka "memberi keahlian yang lebih luas dalam agensi PBB yang lebih besar dalam menangani isu-isu mendesak pada hari ini". Tetapi beliau juga menyeru agar hubungan yang lebih kukuh antara Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.

Dalam satu kenyataan semasa perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB tahun lalu, Singapura turut menggesa penyusunan semula majlis itu, termasuk mengawal pelaksanaan kuasa veto oleh lima anggota tetap majlis tersebut.

Kenyataan Dr Balakrishnan pada Ahad (28 Sep) dikeluarkan sedang PBB menandakan 80 tahun sejak berakhirnya Perang Dunia II. Sistem berbilang hala, yang diasaskan atas dasar undang-undang antarabangsa, membolehkan negara-negara kecil seperti Singapura berkembang maju, katanya lagi.

Aturan dunia pasca perang "sudah berakhir", kata Dr Balakrishnan. Pengaruh ekonomi, kecanggihan teknologi dan kekuatan ketenteraan sekarang "sangat berbeza daripada dunia pada 1945".

"Adalah jelas bahawa PBB dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang lain tidak berkembang untuk mengikuti perkembangan zaman," katanya lagi.

Dr Balakrishnan menegaskan bahawa dunia hari ini telah menjadi "lebih bergolak, lebih tidak menentu, dan di beberapa tempat, lebih ganas".

"Hakisan penghormatan terhadap prinsip-prinsip Piagam PBB, pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, malangnya telah menjadi satu perkara biasa, seperti juga pelanggaran kedaulatan dan integriti wilayah."

Peperangan di Timur Tengah, Ukraine dan beberapa bahagian di Afrika mencerminkan tragedi ini, kata Dr Balakrishnan. Beliau mengulangi bahawa Singapura akan menimbangkan semula pendiriannya untuk mengiktiraf negara Palestin jika Israel "mengambil langkah selanjutnya untuk menolak huraian dua negara".

Peralihan geopolitik juga telah menjejas sistem perdagangan berbilang hala dan ekonomi, katanya.

"Pelonggaran perdagangan yang progresif dan pelaburan telah memperluaskan peluang dan kemakmuran di seluruh dunia. Tetapi hari ini ia berisiko. Tarif, kawalan eksport, digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kelebihan bagi sesetengah pihak, termasuk kadangkala untuk menangani isu bukan berkaitan dengan perdagangan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita