Skip to main content

Singapura

SG gesa Majlis Keselamatan PBB hadkan kuasa pembatal anggota tetap

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Singapura pada Rabu (26 Sep) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan perubahan, termasuk mengehadkan kuasa pembatal lima anggota tetapnya.

Dalam kenyataan dalam perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata dunia berada dalam "fasa sangat bahaya", dan orang awam di "beberapa kawasan bermasalah" paling terkesan.

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berada di titik perubahan. Kita perlu membuat perubahan pada institusi negara dan PBB untuk menangani kedua-dua cabaran sedia ada dan pada masa depan, termasuk perubahan Majlis Keselamatan ini," tambahnya.

Dr Balakrishnan berada di New York bagi sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berlangsung dari 19 hingga 28 September.

Dalam kenyataannya kepada Majlis Keselamatan itu, Dr Balakrishnan menggesa majlis tersebut "mengehadkan kuasa pembatal".

Mana-mana daripada lima anggota tetap, China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, boleh menggunakan kuasa pembatal.

"Semua anggota tetap perlu memberi tumpuan kepada matlamat yang lebih luas, untuk mencapai keamanan dan keselamatan antarabangsa," katanya.

"Walau bagaimanapun, trend menggunakan kuasa pembatal yang semakin meningkat mencadangkan kita tidak boleh menyerahkan keputusan kepada lima negara ini untuk mengubah sikap mereka."

Selain lima anggota tetap tersebut, Majlis Keselamatan PBB juga mempunyai 10 anggota tidak tetap yang dilantik untuk tempoh dua tahun oleh Perhimpunan Agung.

Buat masa ini, negara-negara tersebut adalah Algeria, Ecuador, Guyana, Jepun, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia dan Switzerland.

Dr Balakrishnan berkata lebih ramai anggota PBB perlu bersetuju "tentang bagaimana kuasa pembatal digunakan pada masa depan" dan Singapura "bersedia untuk membincangkan perkara tersebut di Perhimpunan Agung".

PERANAN ANGGOTA DILANTIK PERLU DITINGKATKAN

Peranan anggota yang dilantik oleh Majlis Keselamatan perlu dipertingkatkan, kata Dr Balakrishnan.

"Kita sudah menyaksikan bagaimana 10 anggota yang dilantik menyambung jurang perbezaan, ketika lima anggota tetap tidak mempercayai satu sama lain sekali gus tidak melaksanakan tugasnya," katanya.

"Disebabkan peranan yang menyatukan antara satu sama lain oleh 10 anggota yang dilantik itu, anggota dilantik perlu diberikan peluang lebih banyak untuk mengetuai rundingan dan menggubal ketetapan dan membuat keputusan, serta dibenarkan mengetuai atau membantu mengetuai isu-isu penting, terutama isu terkait dengan rantau masing-masing."

Majlis Keselamatan juga perlu lakukan lebih banyak perkara untuk mencegah konflik, tambah Dr Balakrishnan.

Ia juga perlu bekerjasama rapat dan secara berkesan dengan kumpulan PBB lain, untuk memudahkan pencegahan sebarang isu atau ketika mengambil tindakan.

Ini bukan kali pertama Singapura berbincang tentang penggunaan kuasa pembatal oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.

Pada Mac 2024, Wakil tetap Singapura di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Burhan Gafoor berkata "keberkesanan majlis ini menjunam secara mendadak sejak setahun lalu."

"Sejak ketetapan inisiatif pembatal dilaksanakan pada April 2022, kita menyaksikan penggunaan 12 undi pembatal," katanya ketika itu.

Singapura juga menyokong inisiatif Perancis-Mexico untuk mengehadkan penggunaan kuasa pembatal ke atas jenayah kekejaman yang dilakukan secara besar-besaran, tambahnya.

Ia juga percaya bahawa para anggota majlis, terutama lima anggota tetap, perlu mengelakkan daripada mengundi jika mereka mempunyai kaitan dengan pihak yang mengadu.

Pada April 2022, Encik Gafoor berkata Singapura mengiktiraf hak anggota tetap untuk menggunakan kuasa pembatal mereka.

Namun anggota tetap yang menggunakan kuasa pembatal perlu menjelaskan keputusannya kepada Perhimpunan Agung dan mendengar pandangan anggota lain.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita