Skip to main content

Singapura

SG gesa gencatan senjata segera; sambung semula hantar bantuan sedang keganasan kian meningkat di Gaza

Singapura pada Selasa (20 Mei) menggesa gencatan senjata segera dimeterai dan disambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sedang Israel memperhebatkan serangan di seluruh wilayah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
SG gesa gencatan senjata segera; sambung semula hantar bantuan sedang keganasan kian meningkat di Gaza

Penduduk Palestin cuba mengumpul air di sebuah kem pelarian di Bandar Gaza, pada 20 Mei 2025, di tengah-tengah perang yang berterusan antara Israel dan pergerakan militan Palestin, Hamas. (Gambar: AFP/Bashar Taleb)

SINGAPURA: Singapura pada Selasa (20 Mei) menggesa gencatan senjata segera dimeterai dan disambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sedang Israel memperhebatkan serangan di seluruh wilayah itu.

"Singapura menyeru agar penghantaran bantuan kemanusiaan segera disambung semula sepenuhnya untuk para penduduk Palestin di Gaza dan gencatan senjata dan kemanusiaan dimeterai dengan segera. Semua tebusan yang masih hidup dan ditahan oleh Hamas juga harus dibebaskan dengan segera," kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas serangan udara Israel membunuh berpuluh-puluh orang pada Selasa (20 Mei).

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar akan mengambil alih kuasa di Carikan Gaza, walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk Israel menghentikan operasi ketenteraannya dan membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Pada Isnin (19 Mei), tentera Israel menyatakan bahawa peluasan operasi ketenteraannya di Gaza akan termasuk memindahkan "kebanyakan" penduduk wilayah Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan bantuan kemanusiaan sudah berulang kali memberi amaran tentang bencana kemanusiaan di Gaza, dengan kebuluran sekali lagi mencetuskan keprihatinan masyarakat antarabangsa selepas lebih dua bulan sekatan dikuatkuasakan oleh Israel.

Jurucakap MFA menambah bahawa Singapura "secara konsisten menyeru semua pihak yang berkonflik supaya mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan memastikan semua orang awam dijauhkan daripada bahaya.

"Infrastruktur awam termasuk kemudahan perubatan, serta pekerja perubatan, mesti diberikan perlindungan yang sewajarnya."

Israel membenarkan sembilan trak memasuki Gaza pada Isnin (19 Mei), dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan pada Selasa (20 Mei) bahawa ia sudah menerima kebenaran daripada Israel untuk kira-kira 100 trak bantuan kemanusiaan masuk wilayah itu.

Singapura juga mengulangi sokongannya terhadap huraian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

"Ia adalah satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai huraian yang komprehensif, adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak sekian lama," kata jurucakap MFA.

"Kami menggesa semua pihak supaya mengelak daripada tindakan sepihak yang menghalang proses damai."

“Konflik tidak dapat diselesaikan dengan pemindahan penduduk Palestin secara paksa,” tambah jurucakap MFA.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita