Skip to main content

Singapura

SG gesa firma perkukuh keselamatan siber di tengah risiko AI susuli previu Mythos

Anggaran Waktu Membaca:
SG gesa firma perkukuh keselamatan siber di tengah risiko AI susuli previu Mythos

Logo Anthropic pada 1 Mac 2026. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 16 Apr 2026 05:15PM Dikemas Kini : 16 Apr 2026 05:16PM
  • Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura menasihatkan syarikat tempatan memperkukuh keselamatan siber susulan pelancaran model AI Mythos oleh Anthropic.
  • Institut Keselamatan AI Britain mendapati Mythos lebih berupaya digunakan untuk serangan siber kompleks berbanding model lain seperti ChatGPT dan Gemini.
  • CSA mengesyorkan langkah pencegahan segera seperti mengenal pasti kelemahan sistem, pengesahan data berbilang tahap dan semakan kebenaran pengguna.
  • Pelancaran Mythos mencetuskan kebimbangan global, mendorong perbincangan antara pengawal selia kewangan Britain dan Amerika Syarikat mengenai risiko keselamatan siber baharu.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Agensi Keselamatan Siber (CSA) pada Rabu (15 Apr) menggesa syarikat-syarikat di Singapura supaya memperkukuh langkah-langkah keselamatan siber, dengan menukil peningkatan risiko daripada model-model kecerdasan buatan (AI) yang baharu.

Nasihat itu dikeluarkan beberapa hari selepas Anthropic menawarkan previu model AI terbaharunya, Mythos, di tengah-tengah gembar-gembur mengenai keupayaannya.

Institut Keselamatan AI Britain mendapati bahawa Mythos lebih berkemampuan untuk digunakan bagi serangan siber yang kompleks berbanding alat AI lain seperti ChatGPT milik OpenAI atau Gemini buatan Google.

Model AI Frontier, yang merupakan antara sistem paling canggih yang tersedia, boleh mempercepatkan pengenalpastian kelemahan sistem dan bagaimana untuk mengeksploitasinya dari beberapa bulan kepada hanya beberapa jam sahaja, menurut CSA dalam nasihatnya.

Firma-firma dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan segera, termasuk mengenal pasti kelemahan sistem, melaksanakan pengesahan data berbilang tahap dan menyemak kebenaran pengguna untuk menggugurkan akses yang tidak perlu.

CSA turut menarik perhatian bahawa model-model AI baharu membentuk "kemajuan besar" dalam meningkatkan keupayaan keselamatan siber.

Ini kerana ia boleh menganalisis pangkalan kod yang besar dan kompleks untuk mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan analisis keselamatan merentasi sistem dengan lebih pantas daripada semakan manual tradisional.

Model-model sedemikian berpotensi mengurangkan masa yang diambil oleh pembangun untuk mengenal pasti dan menghapuskan pepijat (bugs) dan keupayaan yang sama juga boleh disalahgunakan oleh penggodam untuk mempercepatkan eksploitasi kelemahan dan mempertingkatkan keupayaan yang berniat jahat.

"Walaupun tiada petunjuk bahawa keupayaan sedemikian disalahgunakan atau diambil kesempatan pada ketika ini, nasihat ini menggariskan bagaimana pertubuhan-pertubuhan boleh merancang lebih awal dan mengukuhkan tahap keselamatan siber mereka untuk melindungi daripada risiko sedemikian," kata CSA.

Agensi itu menambah bahawa firma-firma juga harus menerima pakai strategi jangka panjang untuk mengurangkan risiko, iaitu dengan memantau dan mengurangkan kemungkinan berlaku serangan siber serta melaksanakan tahap keselamatan berlapis.

Dalam pelancaran Mythos, Anthropic menyatakan ia telah "menemui beribu-ribu kelemahan tahap tinggi, termasuk beberapa dalam setiap sistem pengendalian utama dan pelayar (browser) web".

Ini telah mencetuskan kebimbangan global, dengan pengawal selia kewangan Britain dan Perbendaharaan Amerika Syarikat mengadakan perbincangan mengenai potensi risiko yang ditimbulkan oleh Mythos.

The Financial Times juga melaporkan bahawa para pegawai dari Bank England, Penguasa Tatalaku Kewangan dan Perbendaharaan Britain sedang berbincang dengan Pusat Keselamatan Siber Negara Britain untuk meneroka potensi kelemahan dalam sistem IT utama yang diketengahkan oleh model-model tersebut.

 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita