Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG gantung mati bekas pegawai polis yang bunuh 2 beranak di Kovan

Anggaran Waktu Membaca:
SG gantung mati bekas pegawai polis yang bunuh 2 beranak di Kovan

Bekas pegawai polis Iskandar Rahmat digantung mati pada 5 Feb 2025. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Feb 2025 12:07PM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 04:06PM
SINGAPURA: Seorang bekas pegawai polis, yang membunuh dua individu pada 2013, digantung mati pada Rabu (5 Feb).

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan hukuman mati dijalankan ke atas Iskandar Rahmat, selepas Presiden menolak petisyennya minta diberi pengampunan.

Iskandar, warga Singapura berusia 46 tahun, dijadual menjalani hukuman mati sejak 2017. Dia didapati bersalah membunuh dua lelaki - seorang pemilik bengkel kereta dan anaknya - dan dijatuhi hukuman mati pada 4 Disember 2015.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Iskandar terhadap sabitan serta hukumannya pada 3 Februari 2017, jelas pihak polis.

Hukuman mati dikenakan hanya terhadap jenayah paling serius, termasuk pembunuhan, tambah SPF.

RENTETAN PEMBUNUHAN

Iskandar, seorang pegawai polis veteran yang sebelum ini sudah berkhidmat selama 14 tahun, membunuh pemilik bengkel kereta dan anak lelakinya pada 10 Julai 2013.

Orang ramai menjadi saksi Iskandar mengheret Tan Chee Heong, yang berusia 42 tahun ketika itu, di bawah keretanya sambil melarikan diri dalam kereta Toyota Camry di Upper Serangoon Road.

Kesan berdarah itu dijejaki ke sebuah rumah di Hillside Drive, yang terletak kira-kira 1 kilometer dari sana, di mana mayat bapa Tan Chee Heong, iaitu Tan Boon Sin, 67, ditemui terbujur dengan beberapa kesan tikaman.

Iskandar akhirnya ditangkap di Johor Bahru, selepas operasi memburu selama 54 jam.

Dia sebelum itu membuat perancangan untuk mencuri wang daripada bapa Tan, yang disimpan dalam peti simpanan di Certis Cisco, semata-mata untuk mengelak dirinya daripada kemungkinan dipecat akibat "masalah kewangannya".

Dia menjalankan rancangannya sehari sebelum tarikh akhir untuk membuat pembayaran S$50,000 (AS$36,972) bagi melunaskan hutang bank sebanyak S$65,000.

Dalam menjatuhkan hukuman pada 2015, Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Iskandar bahawa dia hanya berniat untuk mencuri dan lari tetapi terpaksa mempertahankan dirinya kerana Tan Boon Sin mengacukan pisau dan lelaki tua itu meninggal dunia akibat kecederaannya semasa pergelutan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan