Skip to main content

Singapura

SG, Ecuador mahu perkukuh kerjasama dalam perdagangan, keterjaminan makanan, pendigitalan

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Ecuador mahu perkukuh kerjasama dalam perdagangan, keterjaminan makanan, pendigitalan

Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) bersama Presiden Ecuador Daniel Noboa Azín semasa lawatan negara Encik Noboa ke Singapura pada 24 Ogos 2026. (Gambar: MDDI)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 10:51PM
  • Singapura dan Ecuador menandatangani Memorandum Persefahaman pada 24 Ogos semasa lawatan rasmi Presiden Ecuador Daniel Noboa Azín ke Singapura.
  • Kedua-dua negara berusaha memperkukuh kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan, pendigitalan, perdagangan, pertanian, dan warisan budaya.
  • Singapura dan Ecuador dilihat sebagai pintu masuk ke rantau masing-masing, membuka peluang ekonomi dan pelaburan antara Asia Tenggara dan Amerika Latin.
  • Kerjasama ini melibatkan syarikat seperti DiMuto dan PSA Marine serta bertujuan memperluas hubungan masyarakat dan perniagaan kedua-dua negara.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura dan Ecuador mahu memperkukuh kerjasama dalam bidang termasuk keterjaminan makanan, pendigitalan dan perdagangan, sedang kedua-dua negara berusaha mengeratkan hubungan ekonomi antara Asia Tenggara dengan Amerika Latin.

Kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama pembangunan pada Isnin (24 Ogos), semasa lawatan negara Presiden Ecuador Daniel Noboa Azín ke Singapura.

Lawatan dua hari Encik Noboa itu merupakan lawatan pertama seorang presiden Ecuador ke Singapura.

Perdana Menteri Lawrence Wong menyifatkannya sebagai satu "detik penting" dalam hubungan dua hala.

"Lawatan ini mencerminkan minat Ecuador yang semakin meningkat untuk menjalin hubungan dengan rantau kita," kata Encik Wong dalam catatan Facebook pada Isnin (24 Ogos).

"Begitu juga, Singapura berminat untuk memperdalam hubungan kita dengan Ecuador dan Amerika Latin serta membina kerjasama lebih erat merentasi Pasifik."

Encik Wong berkata beliau mengadakan "perbincangan yang baik" dengan Encik Noboa mengenai cara untuk memajukan hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keterjaminan makanan, perdagangan, logistik dan pendigitalan.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan Presiden Noboa untuk memperkukuh hubungan antara negara kita dan membuka peluang baharu bagi rakyat dan perniagaan kita," katanya.
Related article image
(Dari kiri) Presiden Ecuador Daniel Noboa Azín, Menteri Ehwal Luar dan Mobiliti Manusia Ecuador Roberto Carlos Kury Pesantes, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa pemeteraian Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pembangunan pada 24 Ogos 2026. (Gambar: MDDI)
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) bersama Presiden Ecuador Daniel Noboa Azín semasa lawatan negara Encik Noboa ke Singapura pada 24 Ogos 2026. (Gambar: MDDI)
'PINTU MASUK' KE RANTAU MASING-MASING

Presiden Tharman Shanmugaratnam turut mengalu-alukan Encik Noboa dalam jamuan negara yang diadakan bagi meraikan Presiden Ecuador itu.

Encik Tharman berkata Singapura dan Ecuador merupakan negara maritim yang berpandangan terbuka dan mengiktiraf pentingnya keterbukaan terhadap perdagangan dan pelaburan.

"Kita berdua merupakan pintu masuk ke rantau masing-masing," katanya.

Menurut Encik Tharman, Ecuador berada pada kedudukan yang baik untuk menghubungkan pantai Pasifik Amerika Selatan dan boleh membantu syarikat Singapura mendapatkan akses kepada peluang di rantau Andes serta pasaran Amerika Latin yang lebih luas.

Singapura pula boleh memainkan peranan serupa bagi syarikat Ecuador yang mahu mendapatkan akses kepada rantaian bekalan, pelabur dan pengguna di Asia Tenggara, memandangkan kedudukannya sebagai hab maritim dan logistik utama serta anggota ASEAN.

Encik Tharman turut menarik perhatian kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Perikatan Pasifik-Singapura yang mula berkuat kuasa pada Mei tahun lalu.

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai detik penting dalam hubungan Singapura dengan Amerika Latin.

Dalam konteks tersebut, Singapura mengalu-alukan permohonan Ecuador untuk menjadi negara bersekutu Perikatan Pasifik, yang menurut Encik Tharman akan membuka lebih banyak peluang ekonomi antara kedua-dua negara.

PERTANIAN, MAKANAN ANTARA BIDANG BERPOTENSI

Pertanian dan makanan merupakan satu lagi bidang kerjasama yang berpotensi, kata Encik Tharman.

Beliau menarik perhatian kepada sumber pertanian dan marin Ecuador yang kaya, termasuk pisang, koko dan udang.

Syarikat-syarikat Singapura juga sudah menjalankan operasi atau menjalin kerjasama di Ecuador.

Syarikat perdagangan pertanian DiMuto misalnya bekerjasama dengan rakan kongsi Ecuador untuk pendigitalan dan menjejaki eksport pertanian ke pasaran Asia.

PSA Marine pula menyediakan khidmat pemanduan kapal dan bot di pelabuhan Guayaquil dan Posorja di Ecuador.

"Ini merupakan contoh baik mengenai potensi kerjasama kita – menggabungkan keupayaan dengan cara yang mewujudkan nilai dan membuka pasaran baharu," kata Encik Tharman.

Presiden Tharman menambah kedua-dua negara juga boleh saling mempelajari usaha memelihara warisan semula jadi dan budaya.

Ecuador mempunyai lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk bandar bersejarah Quito, Kepulauan Galápagos dan Taman Negara Sangay.

Singapura pula bertekad mengintegrasikan kehijauan dalam landskapnya, kata Encik Tharman sambil menarik perhatian kepada Taman Botani Singapura, Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama negara ini.

MOU JADI TITIK PERMULAAN

MOU mengenai kerjasama pembangunan yang dimeterai itu merupakan "titik permulaan" untuk memperkukuh kerjasama Singapura dengan Ecuador dalam bidang keutamaan bersama seperti perdagangan, pendidikan, tatakelola, pendigitalan dan kesihatan awam, kata Encik Tharman.

"Pada akhirnya, asas bagi sebarang hubungan dua hala bukan sahaja dibina menerusi perjanjian, tetapi menerusi masyarakat yang memberikan makna dan momentum kepadanya," katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu mewujudkan lebih banyak peluang bagi rakyat mereka bertemu dan berinteraksi kerana hubungan antara masyarakat dapat membina bentuk kerjasama yang paling berkekalan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita