Skip to main content

Singapura

SG duduki tempat pertama Asia Tenggara paling yakin agama berbeza serasi dengan budaya negara: Tinjauan

Anggaran Waktu Membaca:
SG duduki tempat pertama Asia Tenggara paling yakin agama berbeza serasi dengan budaya negara: Tinjauan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 13 Sep 2023 12:20AM Dikemas Kini : 13 Sep 2023 12:30AM
SINGAPURA: Rakyat Singapura menduduki tempat pertama di Asia Tenggara kerana berkemungkinan besar melihat kepercayaan berbeza-beza sebagai serasi dengan budaya dan nilai negara mereka.

Ini juga bertindak sebagai ukuran toleransi agama di sesebuah negara itu.

Sebuah kajian oleh kumpulan pemikir Amerika, Pusat Penyelidikan Pew, yang dikeluarkan pada Selasa (12 Sep), juga mendapati bahawa Singapura adalah satu-satunya negara yang mempunyai sebahagian besar orang dewasa yang agamanya berubah sepanjang hayat mereka.

Tinjauan itu dijalankan di enam negara – Kemboja, Indonesia, Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand. Ia mendapat respons mengenai berbagai agama, termasuk Buddha, Islam, Kristian, Hindu, agama tradisional Cina dan kepercayaan tempatan atau agama asli.

Lebih 2,000 orang ditinjau di Singapura mengenai beberapa langkah toleransi agama. Rakyat Singapura menyatakan secara meluas bahawa mereka menerima secara meluas pandangan terhadap kumpulan lain, menurut kajian itu.

Hampir 90 peratus dewasa Singapura berkata Islam, Kristian, Hindu, agama tradisional Cina dan kepercayaan tempatan atau agama asli serasi dengan budaya dan nilai di Singapura.

Soalan tinjauan ini bagaimanapun tidak menanyakan tentang agama utama setiap negara - iaitu agama Buddha di Singapura.

Kira-kira 30 peratus orang dewasa Singapura mengikuti agama Buddha. Singapura adalah satu-satunya negara yang dikaji, yang tidak mempunyai kumpulan agama yang majoriti.

Data yang dikumpulkan di Singapura mengatasi jumlah data di negara lain yang dikaji, di mana majoriti agama adalah sama ada agama Buddha atau Islam.

Kajian itu juga mengenal pasti trend pertukaran agama di Singapura. Di semua negara lain yang dikaji, hampir semua orang dewasa masih berpegang kepada agama yang sama sejak kecil.

Namun di Singapura, sebahagian besar, iaitu sebanyak 35 peratus rakyat mendedahkan bahawa agama mereka telah berubah semasa hayat mereka.

32 peratus responden berkata mereka dibesarkan sebagai pengikut agama Buddha, tetapi hanya 26 peratus kini masih mengikuti agama itu. Ini diikuti dengan agama tradisional Cina, di mana 15 peratus responden berkata mereka dibesarkan mengikut agama itu, tetapi hanya 6 peratus masih berpegang padanya buat masa ini.

Sebaliknya, walaupun 11 peratus responden dibesarkan Kristian, mereka yang kini mengamalkan agama itu berada pada paras 17 peratus. Peratusan orang yang dibesarkan tanpa agama ialah 13 peratus, tetapi 22 peratus daripada responden pada masa ini pula tidak mempunyai sebarang agama.

PENANDA IDENTITI NASIONAL
Kajian Pew juga melihat bagaimana agama dan penanda identiti lain memainkan peranan dalam identiti negara.

Di Singapura, para responden ditanya sama ada pelbagai penanda identiti adalah penting untuk menjadi sebahagian daripada negara.

Ini termasuk dilahirkan di Singapura, menjadi sebahagian daripada kumpulan etnik majoriti (Cina) dan menjadi ahli kumpulan agama utama (Buddha).

"Angka bagi rakyat Singapura jauh lebih kecil daripada orang lain di rantau ini untuk menekankan unsur-unsur nativis ini kepada identiti negara," lapor kajian itu.

Hampir 40 peratus responden di Singapura berpendapat kelahiran di Singapura adalah sangat penting untuk identiti negara, berbanding lebih 70 peratus di negara lain.

Etnik Cina membentuk hampir tiga perempat daripada penduduk Singapura, menurut bancian 2020 negara itu.

Tetapi hanya 27 peratus daripada responden berpendapat adalah sangat penting untuk bercakap "bahasa kebangsaan" Singapura - yang Pew meletakkan sebagai Mandarin, walaupun Perlembagaan negara itu mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris pula adalah bahasa yang digunakan di sekolah serta bahasa kerja untuk perniagaan dan pemerintah.

Malah lebih sedikit lagi berfikiran menjadi Cina dan beragama Buddha adalah sangat penting - masing-masing 19 peratus dan 13 peratus.

Singapura juga mempunyai jumlah bahagian tertinggi - 38 peratus - yang tidak bersetuju bahawa budaya kebangsaan mereka lebih tinggi daripada orang lain. Hanya 61 peratus berpendapat bahawa budaya kebangsaan Singapura adalah lebih unggul.

Sebagai perbandingan, 76 peratus di Thailand, 89 peratus di Indonesia, 91 peratus di Malaysia dan 93 peratus di Kemboja percaya bahawa budaya kebangsaan mereka lebih unggul daripada orang lain.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita