SG duduki tangga pertama ranking dunia ukur 6 bidang pembangunan belia
SINGAPURA: Singapura mendahului dunia dalam laporan baru-baru ini yang mengukur enam bidang pembangunan belia, termasuk pendidikan, kesaksamaan dan sikap inklusif serta penyertaan politik dan sivik.
Singapura juga menyerlah, khususnya dalam dua bidang di mana ia menduduki tempat pertama di peringkat global - iaitu kesihatan dan kesejahteraan serta keamanan dan keselamatan.
Markah terburuk Singapura adalah dalam bidang penyertaan politik dan sivik, di mana ia menduduki tangga ke-100 di peringkat global.
Dapatan ini adalah sebahagian daripada Laporan Indeks Pembangunan Belia Global yang dikeluarkan minggu lalu oleh Sekretariat Komanwel, yang mengukur kemajuan pembangunan belia di 183 negara.
Laporan terakhir adalah pada 2020, dengan Singapura turut menghuni kedudukan teratas.
MENGAPA LAPORAN INI PENTING?
Indeks Pembangunan Belia memantau kemajuan matlamat pembangunan mampan yang dikaitkan dengan pembangunan belia, menjadikannya sumber yang berguna untuk para penyelidik, penggubal dasar dan masyarakat awam.
Purata global bagi indeks pembangunan belia telah meningkat sebanyak 2.8 peratus dari 2010 hingga 2022, dedah laporan tersebut.
KEDUDUKAN SINGAPURA
Markah Indeks Pembangunan Belia diukur antara sifar dan 1.0, dengan 1.0 merupakan tahap tertinggi pembangunan belia, dan dipecahkan kepada tahap berikut:
Rendah: 0.000 hingga 0.675
Sederhana: 0.675 hingga 0.738
Tinggi: 0.738 hingga 0.798
Sangat Tinggi: 0.798 hingga 1.000
Singapura memperolehi markah keseluruhan 0.8668, dalam jalur pembangunan "sangat tinggi".
Tiada negara Asia atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) lain yang menduduki 10 tangga teratas.
PRESTASI SINGAPURA DALAM SETIAP BIDANG
Singapura mendapat markah dalam julat "sangat tinggi" untuk semua bidang kecuali penyertaan politik dan sivik, di mana ia tersenarai dalam jalur "sangat rendah".
PENDIDIKAN
Singapura mencatat markah 0.930 dan menduduki tempat ke-18 di peringkat global
Markah tertinggi untuk bidang itu adalah 0.977, yang dicatatkan oleh Luxembourg
Bidang tersebut mmantau kadar celik huruf dan kadar menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah rendah
PEKERJAAN & PELUANG
Singapura menduduki tempat kelima, dengan markah 0.958
Ia diukur dengan penunjuk seperti peratusan golongan muda yang mempunyai akaun bank atau institusi kewangan, kadar kesuburan remaja dan kadar pengangguran.
KESAKSAMAAN DAN KETERANGKUMAN
Singapura mencatat markah tertinggi dalam bidang tersebut, dengan 0.973 markah
Namun, ia menduduki tempat keempat, manakala Pakistan, Equatorial Guinea dan Perancis berkongsi tempat pertama dengan 0.977
Penunjuk termasuk kadar perkahwinan awal, kadar celik huruf berdasarkan jantina dan peluang menyumbang dan meraih manfaat daripada ekonomi
KESIHATAN & KESEJAHTERAAN
Singapura menduduki tempat pertama dengan markah 0.972
Ia terdiri daripada penunjuk seperti penggunaan tembakau dan kadar HIV, serta tahun kehilangan nyawa disebabkan oleh salah guna alkohol, dadah dan mencederakan diri sendiri
KEAMANAN & KESELAMATAN
Singapura sekali lagi menduduki tempat pertama, dengan markah 0.960
Penunjuk termasuk markah keamanan dalaman komposit berdasarkan indeks global, serta tahun kehilangan nyawa akibat konflik bersenjata dan keganasan, antara lain
PENYERTAAN POLITIK & SIVIK
Singapura mencatat kedudukan paling buruk dalam bidang tersebut, dengan markah 0.324 dan menduduki tempat ke-100
Ia diukur dengan penunjuk seperti jumlah peserta yang meluangkan masa untuk melakukan aktiviti sukarela selama 30 hari, atau memberi maklum balas mereka kepada pegawai dalam tempoh yang sama
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.