Skip to main content

Singapura

SG diundang ke Sidang Puncak G20 di Brazil pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SG diundang ke Sidang Puncak G20 di Brazil pada 2024

Singapura menegaskan bahawa G20 perlu menyesuaikan diri dengan perubahan asas dalam aturan global. (Gambar fail: AFP/Sajjad HUSSAIN)

SINGAPURA: Singapura diundang oleh Brazil untuk menyertai Sidang Puncak G20 dan mesyuaratnya pada 2024.

Brazil mengambil alih jawatan presiden G20 dari India pada 1 Dis dan akan mengadakan sidang puncak perkumpulan tersebut di Rio de Janeiro dari 18 hingga 19 Nov 2024.

“Singapura menghargai undangan dari Brazil, yang mencerminkan hubungan kita yang sangat baik dan kerjasama erat di forum berbilang hala,” menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan media bersama pada Sabtu (2 Dis).

“Kami menikmati kerjasama yang mendalam dalam bidang-bidang seperti perdagangan dan pelaburan, inovasi, pendidikan, perubahan iklim dan kemampanan.

"Singapura akan terus menyumbang secara aktif kepada proses-proses G20, kedua-duanya dalam kapasiti kita di peringkat nasional dan juga sebagai Konvenor Kumpulan Tadbir Urus Global (3G)."

Kumpulan Tadbir Urus Global adalah sebuah kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada 30 anggota PBB yang lebih kecil dan sederhana, yang ditubuhkan untuk menggalak hubungan yang lebih kukuh antara negara-negara anggota G20 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Meskipun Singapura bukan anggota G20, negara ini telah diundang untuk menyertai sidang puncak G20 dan mesyuaratnya sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menghadiri Sidang Puncak G20 yang dihoskan oleh India pada September 2023 dan di Bali pada 2022.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berkata negaranya akan menumpukan usaha untuk mengurangkan kebuluran dan kemiskinan, memperlahankan perubahan iklim dan penyusunan semula tadbir urus global apabila ia mempengerusikan ekonomi-ekonomi terbesar dunia dalam G20.

Dalam kenyataan media bersama itu, MFA dan MOF menyatakan: “Kami berharap dapat bekerjasama secara membina dengan presiden Brazil dan anggota-anggota G20 yang lain serta undangannya untuk merealisasikan keutamaan Brazil membina dunia yang adil dan planet yang mampan.

"Ini termasuk isu-isu seperti menggalak sikap inklusif sosial dan membasmi kebuluran, mengurus peralihan tenaga dan pembangunan mampan, dan menyusun semula tadbir urus global."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita