Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG dilanda gelombang baru COVID-19; 30% adalah kes jangkitan semula

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Apr 2023 05:18PM Dikemas Kini : 15 Apr 2023 02:35AM
SINGAPURA: Singapura sedang mengalami gelombang baru COVID-19 sejak sebulan lalu, dengan jangkitan harian meningkat daripada sekitar 1,400 sebulan lalu kepada sekitar 4,000 kes sehari minggu lalu.

Sekitar 30 peratus daripada kes itu adalah jangkitan semula, iaitu lebih tinggi berbanding 20 hingga 25 peratus semasa gelombang jangkitan sebelum ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (14 Apr).

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan COVID-19 juga meningkat, iaitu daripada 80 pada bulan lalu kepada 220 sekarang ini.

Sungguhpun demikian, Encik Ong berkata jumlah itu masih "jauh lebih rendah" berbanding ketika kemuncak pandemik dan lebih rendah daripada jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital bukan disebabkan COVID-19.

Menurutnya lagi, kurang daripada 10 pesakit COVID-19 dirawat di unit jagaan rapi pada satu-satu masa sepanjang bulan lalu.

"Apa yang sedang berlaku menunjukkan dengan jelas sejauh mana kita sudah dapat menangani COVID-19," kata Encik Ong.

"Walaupun di tengah-tengah gelombang jangkitan COVID-19 seperti sekarang, kita terus dapat menjalani kehidupan seperti biasa, kita tidak terlalu dibelenggu tentang jumlah jangkitan... Beginilah kejadian endemik."

Encik Ong berkata demikian di seminar pelan kerja tahunan mengenai usaha sama kesihatan penduduk Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG).

Encik Ong juga mengulas mengenai komen dibuat sebilangan orang yang berkata kenaikan jangkitan COVID-19 di Singapura berpunca daripada pelawat.

"Ini sebenarnya tidak benar," kata Encik Ong.

"Virus itu endemik, yang bermakna ia sentiasa menular dalam masyarakat. Dalam keadaan sedemikian, apa yang menyebabkan gelombang tempatan bukanlah jangkitan import, tetapi jangkitan semula dalam kalangan individu sedia ada dalam masyarakat," jelasnya.

"Apabila perlindungan terhadap jangkitan, daripada jangkitan lalu atau vaksinasi mula luntur, orang ramai mula dijangkiti semula dan ini yang menyebabkan jumlah kes bertambah dan gelombang baru muncul."

SUBVARIAN

Encik Ong berkata Singapura terus menjalankan ujian susunan genetik bagi sampel virus, sambil menarik perhatian bahawa kini terdapat beberapa varian COVID-19 yang menular, termasuk XBB.1.16.

"Salah satu varian yang menarik perhatian ialah XBB.1.16 dengan seseorang menamakannya Arcturus," kata beliau.

"Namun dalam kalangan semua varian sekarang ini, tidak ada satu pun yang benar-benar dominan. Tiada bukti yang menunjukkan satu-satu varian itu menyebabkan penyakit lebih serius."

Singapura melonggarkan langkah-langkah COVID-19 pada Februari, dan amaran keadaan kesihatan awam kini di tahap paling rendah sejak pandemik bermula.

Jumlah jangkitan COVID-19 kini dikemas kini secara mingguan.

"Seperti semua penyakit endemik lain, kami tidak lagi mempunyai data terperinci mengenai jangkitan COVID-19," kata Encik Ong, sambil menambah bahawa Kementerian Kesihatan terus memantau koronavirus dengan teliti melalui sampel pesakit yang mempamerkan gejala pernafasan akut serta ujian sampel air sisa bagi fragmen virus.

Meskipun jangkitan harian sudahpun meningkat, Encik Ong berkata ia hanyalah bahagian kecil daripada 20,000 kes atau lebih secara harian di Singapura yang pernah dicatatkan semasa kemuncak pandemik.

"Penilaian kami adalah minggu ini, jumlah itu mungkin akan stabil, mungkin juga merosot," tambahnya.

Meskipun gelombang sekarang ini tidak teruk, Encik Ong memberi amaran bahawa kes lebih tinggi tetap menambah beban kepada hospital.

Beliau menggesa orang ramai supaya memainkan peranan untuk kekal sihat dan jika mereka berasa kurang sihat, duduk di rumah dan pakai pelitup.

"Dan jika mereka tergolong dalam kumpulan lemah, seperti yang berusia 60 tahun dan ke atas, dapatkan vaksinasi anda setiap tahun," jelasnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan