Skip to main content

Singapura

SG di tempat ke-2 selepas Switzerland berjaya tarik bakat terbaik, namun ada masalah kekalkan mereka: Insead

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kedudukan daya saing Singapura dalam menarik bakat di peringkat global naik satu tangga ke tempat keenam antara bandar, sementara mengekalkan kedudukan kedua selepas Switzerland sebagai terbaik di dunia dari segi keupayaan bersaing untuk bakat.

Demikian menurut laporan terbaru Indeks Daya Saing Bakat Global yang dikeluarkan pada Khamis (3 Nov). Singapura merupakan satu-satunya negara di Asia yang disenaraikan dalam kedudukan 20 teratas bagi bandar dan negara. Senarai itu dikuasai negara-negara Eropah.

Laporan itu bagaimanapun juga menunjukkan bahawa Singapura tidak mampu mengekalkan bakat.

Dalam senarai mengikut bandar, Singapura berada di tangga keenam selepas San Francisco di Amerika Syarikat (AS), disusuli Boston di AS, Zurich di Switzerland, Seattle di AS dan Lausanne di Switzerland.

APA ITU INDEKS DAYA SAING BAKAT GLOBAL?

Indeks itu dikeluarkan setiap tahun oleh sekolah perniagaan Insead yang mengenal pasti dan mengukur prestasi bakat dunia.

Laporan 2022 itu merangkumi 133 negara dan 175 bandar di merata dunia.

PRESTASI SINGAPURA

Singapura telah disenaraikan sebagai negara kedua terbaik di dunia dari segi keupayaan bersaing untuk bakat sejak indeks itu pertama kali dikeluarkan pada 2013 kecuali pada 2020 apabila ia jatuh ke tempat ketiga.

Kajian tahunan yang dikeluarkan semalam mengukur daya saing sebuah negara berdasarkan mutu bakat yang boleh ditarik, hasilkan dan kekalkan.

Dari segi prestasi Singapura mencatat skor tinggi dalam lima daripada enam tunggak yang digunakan.

Keupayaan memperkasa bakat (Singapura berada di tempat kelima)

Keupayaan untuk menarik bakat (kedua)

Keupayaan untuk mengembangkan bakat (kedua)

Keupayaan untuk mengekalkan bakat (ke-36)

Kemahiran kejuruan dan teknikal (ketiga)

Kemahiran pengetahuan global (pertama)

Bagi indeks yang meliputi bandar, tunggak yang sama digunakan kecuali kemahiran kejuruan dan teknikal.

Singapura berjaya mencatat skor tinggi dalam mengupaya bakat namun gagal catat 10 tempat teratas bagi kategori lainnya.

KEKUATAN SINGAPURA

Di bawah indeks negara, Singapura mendahului dalam tunggak pengetahuan global dan menduduki tempat teratas dalam dua lagi tunggak sampingan iaitu kemahiran peringkat tinggi dan impak bakat.

Kemahiran peringkat tinggi mengambil kira:

Tenaga kerja dengan pendidikan pengajian tinggi
Penduduk dengan pendidikan pagajian tinggi
Profesional
Penyelidik
Pegawai kanan dan pengurus
Kemahiran digital

Impak bakat mengambil kira:

Hasil inovasi
Eksport bernilai tinggi
Pembangunan sofwe
Perniagaan baru
Artikel jurnal saintifik

Mengenai prestasi Singapura, laporan itu menambah, "Perkara yang menarik perhatian ialah pendidikan formal bertaraf dunia di Singapura, pembelajaran sepanjang hayat, keterbukaan terhadap perniagaan dan bakat luar negara serta kadar pengambilan kerja yang tinggi.

KELEMAHAN SINGAPURA

Indeks negara itu mengambil kira dua komponen utama apabila membandingkan bagaimana bakat dikekalkan: Kemampanan dan gaya hidup.

Singapura kekal lemah dalam skor bagi mengekalkan bakat. Beberapa sebab yang menyebabkan kedudukan merosot adalah:

Perlindungan persaraan, perlindungan sosial dan perlindungan alam sekitar di bawah komponen kemampanan.

Di bawah komponen gaya hidup pula disebut hak peribadi dan jumlah doktor bagi setiap 10,000 penduduk.

MASA DEPAN

Ketika dunia mengharungi keadaan ekonomi, sosial dan politik yang tidak menentu, pusat-pusat bakat akan lebih bersedia untuk menangani masa depan yang bergolak, menurut Insead.

"Bandar yang dikenalpasti berada dalam kedudukan baik untuk mengharungi masa hadapan termasuk bandar yang mempunyai antara 200,000 dan dua juta penduduk, serta bandar yang tangkas untuk menyesuaikan sumber mengikut perubahan utama seperti transformasi digital, menawarkan persekitaran kerja yang menarik bagi generasi muda dan menyumbang ke arah matlamat pembangunan mampan."

Matlamat pembangunan mampan yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk mengurangkan ketidaksamaan, pendidikan bermutu, ketidaksamaan jantina, tindakan iklim serta pengeluaran yang bertanggungjawab.

Namun, ia mungkin akan dihambat oleh ketegangan antarabangsa yang berterusan, gangguan rantaian bekalan dan dasar perlindungan.

Profesor Felipe Monteiro, pengarang bersama laporan itu dari Insead berkata krisis ekonomi dan geopolitik yang berterusan mempunyai kesan ketara ke atas pasaran buruh.

Ia mungkin akan meningkatkan tahap ketidaksamaan dalam bakat global antara ekonomi yang lebih kaya dan lebih miskin pada tahun-tahun mendatang.

Insead bekerjasama dengan Institut Portulans iaitu sebuah institut penyelidikan dan pendidikan bebas yang berpangkalan di Amerika Syarikat serta
Institut Kepimpinan Modal Insan (HCLI) dalam menghasilkan laporan berkenaan.

HCLI adalah anak syarikat Temasek Management Services yang dimiliki sepenuhnya oleh firma pelaburan negara, Temasek Holdings dan disokong oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita