Skip to main content

Singapura

SG di landasan betul untuk capai matlamat kuasa suria 2030

Menteri Kanan Teo Chee Hean berkata matlamat Singapura yang diperbaharui untuk mengurangkan pengeluaran karbon kepada antara 45 hingga 50 juta tan menjelang 2035 merupakan satu cabaran yang bercita-cita tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
SG di landasan betul untuk capai matlamat kuasa suria 2030

Gambar fail.

Diterbitkan : 28 Feb 2025 10:55PM Dikemas Kini : 28 Feb 2025 10:56PM
SINGAPURA: Menteri Kanan Teo Chee Hean berkata matlamat Singapura yang diperbaharui untuk mengurangkan pengeluaran karbon kepada antara 45 hingga 50 juta tan menjelang 2035 merupakan satu cabaran yang bercita-cita tinggi.

Namun, ia memastikan pengeluaran karbon di Singapura terus merosot.

Singapura merupakan salah satu daripada 13 negara yang menyerahkan ikrar iklim tepat pada masanya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini selepas Amerika Syarikat baru-baru ini menarik diri daripada Perjanjian Paris, manakala negara-negara lain goyah pada komitmen masing-masing.

Encik Teo berkata lebih lama negara-negara lain tunggu untuk bertindak, lebih goyah peralihan mereka.

"Menetapkan sasaran yang bercita-cita tinggi membantu menjana permintaan bagi pelaburan mesra alam yang baharu dan memberikan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura kelebihan untuk membangunkan huraian rendah karbon yang baharu.

"Ia juga memastikan Singapura kekal menarik kepada syarikat-syarikat yang ingin mengurangkan penghasilan karbon dalam operasi mereka, selaras dengan matlamat negara kita sendiri."

Encik Teo berkata Singapura berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran tindakan iklim 2030.

Ia sudah mencapai matlamat bagi 2025 untuk menjana 1.5 gigawatt kuasa suria di bawah cahaya matahari yang optimum, lebih awal daripada dijadualkan.

Jumlah itu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah yang dihasilkan pada 2020, sekali gus meletakkan Singapura di kedudukan yang menepati jadual untuk menjana sekurang-kurangnya 2 gigawatt kuasa suria menjelang 2030.

Separuh daripada bas-bas awam dijangka ditukar menjadi bas elektrik menjelang tahun yang sama sedang Singapura berusaha memastikan semua kenderaan menggunakan tenaga bersih menjelang 2040.

Pendaftaran bagi kereta diesel baharu dan teksi telah berhenti manakala sepertiga daripada semua pendaftaran kereta baharu merupakan kereta berkuasa elektrik.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita