Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG dapat kuota rasmi 900 tempat haji tahun ini: Masagos

Singapura diperuntukkan kuota rasmi haji untuk 900 jemaah pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SG dapat kuota rasmi 900 tempat haji tahun ini: Masagos

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

Diterbitkan : 09 Jan 2023 07:48PM Dikemas Kini : 09 Jan 2023 11:53PM

SINGAPURA: Singapura diperuntukkan kuota rasmi sebanyak 900 tempat haji pada tahun 2023.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan demikian dalam catatan Facebooknya pada Isnin (9 Jan) ketika melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi dari hari ini hingga Khamis.

Encik Masagos menambah, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Saudi serta pihak GSA tempatan bagi menawarkan pakej-pakej tahun ini.

Menurut Encik Masagos, meskipun Singapura berharap untuk menambah kuota haji tahun ini tetapi pandemik COVID-19 masih wujud dan pihak berkuasa Saudi mengutamakan kesihatan dan keselamatan para jemaah.

Menteri Haji dan Umrah Saudi Dr Tawfiq Bin Fawzan Al-Rabiah kata Encik Masagos memberikan jaminan bahawa pasukannya memahami aspirasi Singapura dan akan menyemak semula permohonan negara ini bagi kuota tambahan.

Encik Masagos berterima kasih kepada Dr Tawfiq dan mereka bersetuju untuk terus bekerjasama untuk membantu lebih ramai rakyat Singapura naik haji pada masa depan.

"Saya bersyukur dapat mengunjungi Arab Saudi sekali lagi atas undangan Menteri Haji dan Umrah Saudi Dr Tawfiq Bin Fawzan Al-Rabiah, bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji serta Umrah di Jeddah," ujar Encik Masagos.

"MUIS akan memperuntukan 900 tempat bagi musim haji 2023 kepada bakal jemaah haji yang telah mendaftar di Sistem Pendaftaran Awal Haji (AHRS) serta memenuhi syarat dan keperluan haji 2023," menurut majlis itu dalam kenyataannya menyusuli perjanjian yang ditandatangan.

"Tempat ini diperuntukkan berdasarkan kedudukan pendaftar yang menanti giliran dalam AHRS."

Dalam beberapa hari akan datang, MUIS akan mengirim surat undangan kepada jemaah haji di dalam sistem berkenaan.

Bakal jemaah haji harus mengesahkan jika mereka berminat untuk dipertimbangkan bagi haji 2023 jika ditawarkan tempat.

"Bakal jemaah digalakkan untuk membalas kepada MUIS dalam tempoh masa yang ditetapkan", tambah majlis itu.

PENDAFTARAN HAJI DISAMBUNG SEMULA

Menurut MUIS, sehingga 1 Januari 2020, terdapat 35,000 bakal jemaah haji telah mendaftar di AHRS dan menunggu giliran menunaikan haji.

Singapura menggantung permohonan baru untuk haji pada 2020, mengambil kira jumlah tunggakan yang besar selain COVID-19.

"Dengan kembalinya kuota tahunan serta Kerajaan Arab Saudi menyambung semula operasi pasca-pandemik haji, Singapura kini boleh mula mengatasi tunggakan dalam AHRS dan membolehkan permohonan haji dibuat oleh bakal jemaah haji", kata MUIS.

Tambah MUIS, ia membuka semula pendaftaran haji melalui portal baru MyHajSG, pada 21 Februari ini.

Setiap pendaftaran termasuk yuran permohonan.

Mengambil kira keadaan ekonomi sekarang, MUIS "akan memberi subsidi sebanyak S$90 untuk memastikan yuran kekal berpatutan".

"Pendaftar baru hanya perlu membayar yuran permohonan sebanyak S$240, iaitu sama dengan yuran sebelum pendaftaran digantung semasa pandemik," tambahnya lagi.

Yuran permohonan ini akan meningkat secara beransur-ansur kepada S$285 dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025; dan S$330 mulai 1 Januari 2026 dan seterusnya.

Ia untuk menggambarkan peningkatan kos bagi mentadbir pendaftaran haji. Bayaran tersebut juga tidak termasuk GST, kata MUIS.

PORTAL BARU

Semua pendaftaran dan urus niaga berkaitan haji dijalankan melalui portal baru MyHajSG yang boleh diakses melalui penggunaan Singpass.

Dengan sistem pendaftaran haji online itu, bakal jemaah tidak perlu membuat pendaftaran secara fizikal di MUIS.

"Bakal jemaah haji yang berdaftar boleh menjejaki permohonan mereka yang menunjukkan nombor pendaftaran mereka, tarikh pendaftaran dan masa, status semasa pendaftaran dan bilangan pemohon di hadapan mereka dalam senarai menunggu," kata MUIS.

Sejak September 2022, MUIS telah meminta pendaftar yang ada sekarang di AHRS supaya mengemas kini butiran peribadi mereka selain waris mereka di portal tersebut.

"Ini amat penting supaya mereka boleh dihubungi sekiranya mereka layak ditawarkan tempat," tambah majlis itu.

Jemaah haji yang ditawarkan tempat haji akan menerima makluman pemberitahuan melalui SMS dan e-mel.

"MUIS percaya bahawa MyHajSG baru akan memudahkan pendaftaran haji untuk bakal jemaah haji," kata majlis itu.

MUIS juga "ingin menasihatkan bakal jemaah haji agar membuat persiapan awal untuk menunaikan haji."

"Mereka mestilah bersedia secara fizikal, mental, rohani dan kewangan apabila mereka menerima surat pemberitahuan daripada MUIS," tambahnya.

Bagi pihak masyarakat Islam Singapura, MUIS turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas usaha dan komitmen yang kuat untuk meningkatkan kebajikan dan keselamatan jemaah haji semasa menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

"MUIS juga ingin merakamkan penghargaan kepada bakal jemaah haji atas kesabaran mereka untuk menunaikan rukun Islam yang kelima," kata MUIS lagi dalam kenyataannya.

Bagi bantuan melayari portal MyHajSG, bakal jemaah haji boleh merujuk kepada e-sumber di laman web Haji MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan