Skip to main content

Singapura

SG dapat kuota rasmi 900 tempat bagi musim haji 2026, jumlah sama sejak 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura secara rasmi diberikan kuota seramai 900 jemaah bagi musim Haji tahun depan. 

Demikian menurut Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dalam satu catatan di Facebooknya pada Isnin (10 Nov) selepas menandatangani Perjanjian Haji bagi musim Haji 2026 bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah. 

Dr Faishal sedang mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Arab Saudi dan Jordan selepas menyandang jawatan selaku Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. 

Dr Faishal turut menyampaikan hasrat agar Singapura diberi kuota haji tambahan supaya lebih ramai jemaah Singapura dapat mengerjakan ibadah haji. 

Beliau menegaskan bahawa Singapura sentiasa bersiap-siaga untuk menyokong jemaah haji, dengan sistem yang kukuh, tadbir urus yang baik dan kerja rapat bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ini termasuk mematuhi syarat kesihatan yang diperketat bagi jemaah Haji 2026. 

(Gambar: MDDI)

Dr Faishal juga berkongsi bahawa Singapura akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan perubatan berpangkalan di Arab Saudi, yang akan memastikan kesihatan serta kebajikan jemaah sentiasa terjamin sepanjang perjalanan suci mereka.

Menurutnya lagi, perjanjian tersebut bukan sekadar bagi mendapatkan kuota tetapi "juga mencerminkan kepercayaan dan persahabatan antara kedua-dua negara, serta komitmen bersama untuk memastikan ibadah Haji yang selamat, lancar dan penuh keberkatan bagi jemaah kita."

(Gambar: MDDI)

Sejurus selepas memeterai perjanjian tersebut, Dr Faishal mengunjungi Persidangan dan Pameran Haji  bertemakan “Dari Mekah ke Dunia”. 

Persidangan itu memberi tumpuan kepada pelbagai usaha untuk mempertingkat mutu perkhidmatan haji, serta memperkukuh kerjasama antara negara.

Beliau berpeluang bertemu wakil-wakil dari Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS).

Dr Faishal meluahkan penghargaan kepada SPAO dan AMTAS atas kerjasama erat dan komitmen mereka demi membantu jemaah Singapura.

Beliau juga memberi jaminan bahawa agensi dan rakan kongsi terlibat sedang berusaha gigih untuk memastikan jemaah mendapat bimbingan, kemudahan dan pengalaman ibadah yang terbaik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita