Skip to main content

Singapura

SG dan Perancis ganding bahu lakar asas aturan global baharu: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 May 2025 05:08PM Dikemas Kini : 30 May 2025 11:11PM
SINGAPURA: Singapura dan Perancis adalah dua negara "saling bersefahaman" yang bekerjasama untuk menggariskan aturan global baharu, dengan aturan lama sudah berubah sejak beberapa dekad lalu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (30 Mei).

Bercakap kepada para wartawan semasa sidang media bersama dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, PM Wong berkata kedua-dua negara sangat percaya kepada prinsip berbilang hala dan aturan global berasaskan peraturan.

Tetapi ia kini sudah "berubah" dan "tiada sesiapa yang tahu apakah aturan baharu itu pada tahun-tahun akan datang".

“Dalam tempoh peralihan ini, adalah penting bagi negara-negara yang berfikiran sama untuk bekerjasama bagi menggariskan aturan baharu yang akan memastikan kestabilan dan kemakmuran bersama yang berterusan untuk negara-negara di seluruh dunia,” tambah PM Wong.

Perancis dan Singapura melakukan ini bukan sahaja secara dua hala tetapi juga melalui inisiatif yang lebih luas melibatkan Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Perjanjian Progresif bagi Kerjasama, kata PM Wong.

"Ini adalah langkah penting yang saya percaya akan membantu untuk menekankan lagi prinsip perdagangan bebas, sistem perdagangan berasaskan peraturan, dan akan memastikan bahawa mereka dapat melaksanakan tunggak prinsip berbilang hala yang baharu yang akhirnya akan muncul pada tahun-tahun akan datang."

Encik Macron sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Singapura, yang turut menyaksikan sebanyak 12 perjanjian ditandatangani merentasi pelbagai sektor, termasuk mengenai ekstradisi penjenayah dan kerjasama mengenai tenaga nuklear. Kedua-dua negara juga akan meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik yang komprehensif.

Perdana Menteri Lawrence Wong berucap semasa sidang media di Bangunan Parlimen di Singapura pada 30 Mei 2025. (Tangkapan skrin: CNA)

MENDAMPINGI ASEAN


Ditanya oleh media pada Jumaat (30 Mei) mengenai bagaimana Perancis akan menonjolkan dirinya sebagai "kuasa ketiga" di Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan Amerika Syarikat-China, Encik Macron berkata negaranya percaya pada nilai yang sama seperti aturan dunia dan perdagangan terbuka.

"Kami tidak mahu bergantung kepada negara-negara lain. Kami mahu bekerjasama dengan kedua-duanya setakat yang kami mampu dan kami boleh bekerjasama untuk meraih pertumbuhan dan kemakmuran serta keselamatan untuk rakyat kami," tambahnya.

Presiden Perancis itu juga menyatakan bahawa Perancis sedang meninjau sejauh mana untuk melibatkan diri dengan ASEAN serta negara-negara Indo-Pasifik.

Menjawab soalan yang sama, PM Wong berkata walaupun terdapat "banyak tumpuan" kepada Amerika Syarikat dan China, terdapat kuasa besar lain seperti Perancis untuk dilibatkan sama.

"Perancis mempunyai keupayaan yang ketara merentasi pelbagai bidang berbeza... tetapi kami juga mengalu-alukan Perancis untuk melakukan lebih banyak lagi, bukan sahaja dengan Singapura, tetapi juga dengan seluruh Asia Tenggara."

Singapura adalah persinggahan ketiga dan terakhir dalam rangka lawatan Encik Macron ke Asia Tenggara selepas lawatan ke Vietnam dan Indonesia.

Di Vietnam - lawatan rasmi pertamanya - perjanjian untuk 20 pesawat Airbus dan kerjasama mengenai tenaga nuklear telah ditandatangani, antara lain.

Dalam lawatan Encik Macron ke Indonesia, Perancis dan Indonesia menandatangani perjanjian awal yang boleh membawa kepada tempahan baharu peralatan tentera Perancis seperti jet pejuang Rafale dan kapal selam Scorpene.

“Dengan menjalin hubungan tambahan ini untuk semua kuasa besar mempunyai kepentingan di Asia Tenggara dan Asia untuk bekerjasama sambil memeterai perjanjian yang saling menguntungkan, kami percaya perkongsian dan kerjasama sedemikian akan menjadikannya lebih stabil di Asia,” kata PM Wong.
Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita