Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG dan Hong Kong bersaing, namun saling raih manfaat dari satu sama lain, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Walaupun syarikat-syarikat serta sektor-sektor di Singapura dan Hong Kong bersaing, ia juga saling meraih manfaat daripada satu sama lain malah ke tahap yang lebih besar - secara strategik dan dalam jangka masa panjang, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (3 Nov).

Berucap di Sidang Puncak Hong Kong-ASEAN yang sulung, di mana Encik Ong - antara penceramah utama - menghadirinya secara maya, menteri itu menggambarkan hubungan antara Singapura dengan Hong Kong sebagai "saling berhubung kait".

"Banyak perbandingan dibuat antara Singapura dengan Hong Kong. Naratif popular adalah untuk menggambarkan kami sebagai pesaing yang hanya membawa keuntungan kepada satu pihak. Namun, saya rasa ini adalah pandangan yang sempit dan tidak tepat," jelas beliau.

"Sebaliknya, saya berpendapat bahawa wujud satu hubungan saling terkait antara Singapura dengan Hong Kong."

Encik Ong berkata rantaian bekalan, keupayaan pengeluaran dan pasaran serta hubungan manusia "saling terkait rapat" di seluruh dunia dan antara bandar-bandar. Hubungan Singapura-Hong Kong perlu dilihat dari sudut perspektif tersebut, tambahnya.

Sebelum pandemik melanda, Hong Kong merupakan rakan kongsi perdagangan kelima terbesar dan destinasi pelaburan ketujuh terbesar Singapura, manakala Singapura pula adalah rakan kongsi perdagangan kelima terbesar Hong Kong, menurut Encik Ong.

Di tengah-tengah pandemik, kedua-dua bandar tersebut membuat kesimpulan bahawa ia perlu cuba menangani COVID-19 serta membuka laluan perjalanan yang selamat kepada dunia luar. Oleh demikian, Perjalanan Udara Aturan Khas (ATB) diadakan antara Singapura dengan Hong Kong, kata Encik Ong.

"Walaupun ATB tidak berjaya, tiada sebarang penyesalan. Daya maju ekonomi kami dipertaruhkan dan kami perlu berjuang dengan baik. Sekiranya kami boleh memutar kembali masa, saya rasa kami akan melakukannya sekali lagi," tambahnya.

CADANGAN MEMPERKUKUHKAN KERJASAMA

Dalam ucapannya, Encik Ong turut menyenaraikan beberapa cadangan untuk memperkukuhkan kerjasama antara Singapura dengan Hong Kong.

Antaranya, kedua-dua pihak boleh meneruskan aliran perdagangan dan pelaburan bebas di sekitar rantau ini serta juga memudahkan "integrasi lebih rapat" di rantau tersebut.

Singapura dan Hong Kong juga harus terus melabur dalam golongan mudanya supaya generasi pelajar, karyawan dan usahawan seterusnya dari dua bandar tersebut boleh membina persahabatan dan ikatan selain membentuk sebuah rangkaian, tambah Encik Ong.

Menyentuh mengenai kesihatan, Encik Ong berkata terdapat juga ruang untuk kerjasama.

“Sebagai bandar-bandar antarabangsa, kami berkemungkinan besar menjadi yang pertama untuk mengesan varian serta patogen baru dan bagaimana kami bertindak balas memberi rujukan penting kepada seluruh dunia. Singapura dan Hong Kong boleh bekerjasama untuk mengukuhkan pengesanan varian dan analisis tahap daya bingkas masyarakat terhadap varian serta patogen baru.”

Encik Ong menambah bahawa kedua-dua pihak harus mewujudkan semula sepenuhnya hubungan perdagangan, kewangan, penerbangan dan hab perkapalan untuk memulihkan perdagangan dan aliran manusia seperti sebelum pandemik COVID-19. Beliau menambah langkah Hong Kong melonggarkan syarat-syarat kuarantin bagi para pelancong adalah satu langkah yang dialua-alukan.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan