Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG CORE bolehkan belia & anggota berseragam bincang isu keselamatan negara, kaum

Satu program perintis dipanggil SG CORE dilancarkan hari ini (4 Sep) bagi membolehkan lebih ramai orang memahami dan peka tentang kepelbagaian kaum dan budaya di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Sep 2021 08:27PM Dikemas Kini : 04 Sep 2021 10:20PM

SINGAPURA: Satu program perintis dipanggil SG CORE dilancarkan hari ini (4 Sep) bagi membolehkan lebih ramai orang memahami dan peka tentang kepelbagaian kaum dan budaya di Singapura.

Program kendalian pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Humanity Matters itu merangkumi satu siri forum yang mengupas secara mendalam isu-isu kaum dan ancaman luar. Semua ini dianjurkan supaya para pesertanya lebih peka tentang isu-isu yang boleh menjejas keharmonian kaum.

Buat masa ini, SG CORE disasarkan kepada 400 peserta yang boleh mengikutinya menerusi 20 sesi berbeza sepanjang tempoh setahun.

"Pegawai-pegawai dari kumpulan seragam (khususnya menjadi kumpulan sasaran kerana mereka) berdepan isu-isu sosial pada peringkat masyarakat (semasa bertugas). Jadi mereka seharusnya dilengkapi dengan kemahiran sosial dan pengetahuan mengenai isu-isu sosial," kata Encik Hassan Ahmad selaku Penasihat Khas Humanity Matters.

Beliau juga berharap SG CORE akan menjadikan para peserta sebagai 'pemangkin' yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan sosial di Singapura.

Dalam setiap sesi SG CORE, para peserta akan dapat turut mengikuti satu lawatan ke Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian untuk menyusuri landskap berbilang kaum dan agama Singapura dan memahami faktor-faktor yang diperlukan dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.

Program perintis SG CORE itu dilancarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam hari ini (4 Sep).

Dalam ucaptamanya di majlis pelancaran itu, Encik Shanmugam menyifatkan inisiatif seperti ini sebagai "sangat penting".

"Kita memerlukan semua orang - dari Pemerintah hinggalah masyarakat - untuk memainkan peranan dalam membina kesepakatan sosial. Nilai dan pengajaran yang ingin disampaikan kepada para peserta, saya rasa penting dalam membantu usaha kita memupuk dan mengekalkan teras berbilang kaum Singapura, selain menjaga keharmonian kaum," kata Encik Shanmugam.

Buat masa sekarang, program SG CORE dimulakan dengan beberapa kumpulan dahulu termasuk para anggota perkhidmatan negara, pegawai dari kumpulan beruniform dan relawan masyarakat.

Humanity Matters merancang untuk memperluaskan program ini kepada orang awam pula pada tahun-tahun mendatang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan