Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG, China orak 'langkah seterusnya' selepas pertingkat kerjasama dua hala, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

BEIJING: Setelah mempertingkatkan hubungan dua hala antara Singapura dan China, kedua-dua negara akan mengorak langkah seterusnya selepas perjanjian-perjanjian dimeterai dalam beberapa bidang kerjasama, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (1 Apr) sedang beliau menggulung lawatan rasminya ke China. 

Beijing menjangkakan persekitaran global yang "agak suram". Pada masa yang sama, ia mahu "bekerjasama" dan mewujudkan kestabilan dengan negara-negara Asia yang lain, termasuk Singapura, kata PM Lee kepada para wartawan dari Singapura. 

"Justeru, saya rasa ia adalah persekitaran di mana kita boleh terus memperkukuhkan hubungan kita dengan mereka dan meneroka bidang-bidang baru, sama ada bidang digital, ekonomi hijau, khidmat kewangan tambahan, termasuk pasaran kewangan, renminbi (mata wang China) dan sama ada tentang jaminan makanan.

"Semua bidang di mana terdapat potensi untuk berkembang maju dan juga untuk kita memelihara hubungan sedang  hubungan antarabangsa tidak boleh dipandang remeh," ujar PM Lee.

Dalam wawancaranya bagi menggulung lawatan rasminya yang pertama ke China dalam hampir empat tahun, PM Lee berkata, kerjasama dengan China perlu kekal relevan sedang ekonomi maju dan kepentingan berubah.

Merujuk kepada Taman Perindustrian Suzhou China-Singapura - projek pertama antara kedua-dua pemerintah yang dilancarkan pada 1994 - PM Lee menarik perhatian, ia sudah berkembang daripada model untuk membangunkan sebuah perbandaran kepada memikat aktiviti-aktiviti teknologi tinggi sekarang. 

"Maka itu, pada masa yang sama, kerjasama kita dengan China harus dikemas kini untuk kekal relevan," kata PM Lee. 

"Kita sudah memeterai FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas), kita juga sudah mempertingkatkannya. Kini kita berbincang untuk memperluaskan skop FTA tersebut bagi memastikan syarat-syarat yang ditawarkan saling menguntungkan, seperti mana yang ditawarkan dalam FTA-FTA lain, yang China memeterai sejak FTA antara Singapura dan China dilaksanakan.

"Justeru, ini bermakna lebih banyak peluang untuk para peniaga kita dan lebih berdaya saing untuk mereka. Dan saya berharap ia juga bermakna lebih banyak peluang untuk syarikat-syarikat China   berurus niaga di Singapura." 

Hubungan muhibah memerlukan usaha, kata PM Lee. "Anda perlu terus mempertingkatkanya. Kami tidak pernah berpuas hati," tambahnya. 

Singapura dan China memeterai tujuh Memorandum Persefahaman (MOU) dalam beberapa bidang dari jaminan makanan hingga ke seni, air dan penyelidikan alam sekitar.

PM Lee mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat (31 Mac) dengan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap "Kerjasama Berlandaskan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh".

MEMULIHKAN KETERSAMBUNGAN PERJALANAN

Apabila ditanya mengenai bidang-bidang lain yang ingin diusahakan Singapura dengan China, PM Lee berkata, kedua-dua pihak sedang memulihkan khidmat penerbangan awam ke tahap sebelum pandemik. 

"Kita belum sampai ke tahap itu, kita cuma berada pada tahap 40 peratus sebelum COVID-19 dan sedang dalam proses untuk kembali ke tahap itu. Kita sedang berbincang dengan pihak China untuk menggalak mereka untuk mengambil tindakan pantas supaya kita boleh mendapatkan lebih ramai orang untuk melakukan perjalanan.

"Saya rasa sebahagian pergerakannya belum lagi disambung semula kerana China belum memansuhkan sepenuhnya syarat visa bagi pelawat ke tanah besar negara itu," ujar PM Lee. 

PM Lee menambah, apabila beliau membangkitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri China Li Qiang, beliau berkata, beliau akan "menumpukan perhatian kepada perkara itu". 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan