Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG boleh pertimbang tambahan COE pada masa depan jika caj berdasarkan jarak dikuat kuasa

Anggaran Waktu Membaca:
SG boleh pertimbang tambahan COE pada masa depan jika caj berdasarkan jarak dikuat kuasa

(Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Nov 2024 05:33PM Dikemas Kini : 12 Nov 2024 05:54PM
SINGAPURA: Lebih banyak Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) akan disediakan jika caj berdasarkan jarak dikuatkuasakan pada masa depan, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat di parlimen pada Selasa (12 Nov).

Ini selain tambahan sehingga 20,000 COE pada tahun-tahun mendatang bagi setiap kategori kenderaan, mulai Februari depan.

Encik Chee menjelaskan bahawa tambahan tersebut tidak terkait dengan penguatkuasaan caj berdasarkan jarak.

"Kami belum membuat keputusan sama ada untuk menguatkuasakan caj berdasarkan jarak, meskipun ERP 2.0 memberi kami pilihan untuk melakukan demikian," jawab Encik Chee kepada soalan daripada para Anggota Parlimen (AP) mengenai tambahan COE.

"Kami perlu buat lebih banyak kajian, termasuk data daripada ERP 2.0, kerana terdapat keuntungan dan kerugian yang perlu kami fikirkan dengan teliti."

Beliau menambah bahawa jika caj berdasarkan jarak dikuatkuasakan, ia memberi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) "alat tambahan untuk mengawal kesesakan".

Semasa mengumumkan tambahan COE tersebut, LTA menjelaskan bahawa corak perjalanan sudah berubah selepas COVID-19, dengan jarak perjalanan keseluruhan kenderaan turun kira-kira 6 peratus daripada 2019 hingga 2023, serta trafik yang berkurangan di daerah pusat bandar (CBD).
Encik Chee juga menarik perhatian bahawa kuota COE bagi Kategori A,B dan C akan terus meningkat setiap suku, sebelum mencapai bekalan tertinggi yang diunjurkan pada 2026.

“Tambahan COE itu akan memberi kami lebih banyak kelonggaran untuk memenuhi komitmen ini, dan seterusnya meningkatkan bekalan COE dalam beberapa suku akan datang sebelum kami mencapai bekalan tertinggi mulai 2026,” katanya.

ADAKAH KENDERAAN ELEKTRIK JEJAS HARGA COE?

Encik Chee juga menjelaskan kesan subsidi Kenderaan Elektrik (EV) terhadap harga COE.

Buat masa ini, Singapura memberi rebat cukai sehingga S$40,000 untuk kereta elektrik, dan jumlah itu ditolak daripada yuran pendaftaran tambahan apabila kereta elektrik baharu didaftar.

Encik Chee berkata bahawa subsidi tersebut bertujuan untuk mengurangkan perbezaan dalam jumlah kos pemilikan antara kereta elektrik pasaran besar-besaran dan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kereta hibrid serupa.

Beliau menambah bahawa apabila seseorang memutuskan untuk membeli kereta, subsidi EV berfungsi untuk mendorongnya ke arah mempertimbangkan kereta elektrik, bukannya kereta ICE.

BOLEHKAH VISI KURANGKAN PENGGUNAAN KERETA DIUSAHAKAN DENGAN LEBIH BANYAK COE?

Dengan adanya visi untuk mengurangkan penggunaan kereta, ia tidak bermakna jumlah keseluruhan kereta di Singapura tidak boleh meningkat, kata Encik Chee.

"Perkara paling penting adalah untuk mengelak kesesakan jalan raya melalui kedua-dua kawalan pemilikan dan harga berdasarkan pengguna, yang telah kami lakukan sejak beberapa dekad lalu," katanya.

Beliau menambah bahawa jumlah kenderaan yang meningkat tidak menyebabkan peningkatan pada penggunaan kenderaan secara automatik.

"Mungkin ada pemilik kereta yang memilih untuk menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja, begitu juga mereka yang menggunakan kereta mereka kebanyakannya pada hujung minggu atau ketika waktu sibuk," katanya.

"Inilah sebabnya ia berguna untuk mempunyai kedua-dua kawalan pemilikan dan penetapan harga berdasarkan penggunaan, supaya kami dapat membolehkan sesetengah keluarga memiliki kereta sambil mengawal kesesakan, terutamanya semasa waktu sibuk."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan