Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG boleh atasi apa jua cabaran selagi rakyat kekal bersatu padu: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Apr 2025 01:23PM Dikemas Kini : 21 Apr 2025 12:49AM
SINGAPURA: Singapura boleh mengatasi apa jua cabaran di masa hadapan, selagi rakyatnya kekal bersatu padu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (20 Apr).

PM Wong berkata demikian dalam ucapannya di Karnival Kesihatan GRC Sembawang.

Sembawang adalah kawasan undi terakhir dalam siri lawatan beliau ke beberapa kawasan undi sebagai Perdana Menteri.

Beliau memulakan lawatan itu pada Jun 2024, tidak lama selepas beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura.

Encik Wong menekankan perpaduan pada ketika ini lebih penting, terutamanya di tengah-tengah "masa depan yang tidak menentu, dan pelbagai cabaran" di seluruh dunia.

"Kami berdepan dengan konflik, perang, ketidaktentuan ekonomi, perang dagang, perang tarif. Begitu banyak perkara yang perlu dibimbangkan dalam dunia di sekeliling kita.

"Tetapi itulah sebabnya lebih penting lagi, di titik merah yang kecil ini, untuk rakyat Singapura kekal bersama, bersatu padu. Dan jika kita dapat melakukan demikian, saya yakin bahawa kita boleh mengatasi apa jua cabaran yang datang," katanya.

"Jadi mari kita teruskan dengan semangat perpaduan. Mari kita maju ke hadapan bersama-sama."

Prospek ekonomi Singapura semakin lemah di tengah-tengah ketidakpastian global yang meningkat.

Pada 14 April, pemerintah telah menurunkan ramalan GDP bagi 2025, di mana ia menukil kesan tarif baharu terhadap perdagangan antarabangsa.

Diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2 April, langkah itu termasuk tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus terhadap semua barang import, dengan import lebih tinggi dikenakan terhadap negara-negara yang dianggap mempunyai amalan perdagangan yang tidak adil.

Walaupun Encik Trump menggantung pelaksanaan tarif tambahan terhadap kebanyakan rakan-rakan kongsi dagang selama 90 hari - kecuali China - Singapura tetap terjejas oleh levi 10 peratus, walaupun tidak dikenakan sebarang tarif terhadap barang import Amerika.

Walaupun dengan perkembangan global yang mencabar, Encik Wong berkata tahun ini amat istimewa kerana Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60.

"Kami telah menempuh perjalanan yang sangat jauh. Lihat sahaja di mana kita bermula dan betapa banyaknya Singapura telah berubah hari ini, dan kehidupan kita telah bertambah baik. Tidak dapat dibayangkan sekali," kata PM Wong.

"Tiada sesiapa yang dapat bayangkan pada 1965 keadaan Singapura pada masa kini. Namun kita dapat mencapai semua itu dengan bekerja bersama-sama sebagai satu rakyat."

Walaupun ia tidak bermakna bahawa semuanya adalah sempurna, PM Wong berkata masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

"Selagi kita terus bekerjasama, saya pasti kita dapat terus maju, terus lakukan yang lebih baik.

"Hari-hari terbaik kita di Singapura masih di hadapan kita."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan