Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG berusaha manfaatkan hidrogen demi capai sasaran iklim lebih awal

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Oct 2022 12:15PM Dikemas Kini : 25 Oct 2022 08:54PM
SINGAPURA: Singapura merancang untuk memanfaatkan hidrogen rendah karbon sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon sekali gus mempercepatkan pencapaian sasaran sifar sisa.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada Selasa (25 Okt), bahawa Singapura akan meningkatkan sasaran iklimnya untuk mencapai sifar sisa menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi pelepasan rendah karbon.

Sebelum ini, Singapura menyatakan ia akan mencapai sasaran tersebut "sebaik sahaja ia mampu berbuat demikian pada separuh kedua abad ini".

Berucap di Minggu Tenaga Singapura, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan menambah bahawa Singapura akan mengurangkan pelepasan karbon kepada sekitar 60 juta tan karbon dioksida (MtCO2e) pada 2030.

Sebelum ini, Singapura berikrar untuk mengurangkan pelepasan MtCO2e kepada 65 juta tan sekitar 2030.

Perbezaannya serupa dengan mengurangkan pelepasan karbon pengangkutan di Singapura sebanyak dua pertiga, kata Encik Wong.

Dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa, Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) menjelaskan sasaran itu bergantung kepada kemajuan teknologi serta daya maju ekonomi bagi teknologi rendah karbon seperti hidrogen dan penggunaan serta penyimpanan karbon (CCUS).

Ia juga bergantung kepada kerjasama antarabangsa yang berkesan dalam bidang-bidang seperti kredit karbon dan import tenaga yang boleh diperbaharui, menurut kenyataan itu.

Ikrar yang disemak itu dilakukan menjelang sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini atau COP27, yang akan diadakan di Sharm El-Sheik, Mesir bulan depan.

Sejauh ini, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada sudah menyemak ikrarnya.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh kumpulan kajian global World Resources Institute (WRI) minggu lalu, ia mendapati ikrar terbaru yang dibuat negara-negara hanya akan mengurangkan pelepasan global gas rumah hijau sebanyak 7 peratus daripada paras 2019, menjelang 2030.

Ini "sangat tidak mencukupi" bagi menangani kenaikan suhu global yang menurut saintis akan memburukkan lagi kemarau, ribut dan banjir, jelas laporan itu.

Bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris untuk membataskan kenaikan suhu global sebanyak 1.5 darjah Selsius, laporan itu menyatakan negara-negara mesti mengukuhkan matlamatnya sebanyak sekitar enam kali atau sekurang-kurangnya 43 peratus.

STRATEGI HIDROGEN SINGAPURA

Dalam kenyataan media berasingan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjelaskan hidrogen boleh membekalkan sehingga separuh keperluan tenaga Singapura menjelang 2050.

Selain menyediakan alternatif bagi pelepasan domestik, hidrogen rendah karbon dan hidrogen yang diperolehi daripada bahan api juga akan digunakan dalam sektor-sektor maritim dan penerbangan, kedua-duanya yang banyak melepaskan karbon, menurutnya.

Sebagi persiapan bagi penggunaan hidrogen, MTI menyatakan Singapura akan cuba menggunakan teknologi maju hidrogen serta menjalankan kerja-kerja kajian dan pembangunan bagi memajukannya lagi.

Encik Wong berkata Singapura akan memberi tumpuan pada teknologi-teknologi yang mempunyai potensi untuk berdaya maju secara komersil dan pelbagai guna, sambil merujuk kepada ammonia rendah karbon sebagai contoh.

Bagi menggerakkan usaha hidrogen Singapura, Pemerintah akan mengeluarkan 'Expression of Interest' atau hasrat di mana ia akan menjalankan projek komersil berskala kecil dengan menggunakan ammonia rendah karbon bagi menjana tenaga.

Dengan cara ini, rakyat Singapura boleh mula mendapatkan bekalan elektrik yang dijana daripada hidrogen rendah karbon pada 2027, jelasnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan