Skip to main content

Singapura

SG beri kelulusan bersyarat untuk Sun Cable import 1.75 gigawatt elektrik dari Australia

Anggaran Waktu Membaca:
SG beri kelulusan bersyarat untuk Sun Cable import 1.75 gigawatt elektrik dari Australia

Ladang solar seluas 12,000 hektar akan dibina di Wilayah Utara Australia. (Gambar: Sun Cable)

SINGAPURA: Singapura memberikan kelulusan bersyarat kepada Sun Cable untuk mengimport 1.75 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon dari Australia ke Singapura.

Elektrik yang diimport itu dijangka akan memanfaatkan tenaga solar dari Wilayah Utara Australia dan akan dihantar melalui kabel dasar laut baharu berukuran sekitar 4,200km, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Selasa (22 Okt).

Sun Cable menyatakan bahawa projek solarnya bernilai AS$13.5 bilion di Australia, Australia-Asia PowerLink, bakal menjadi "ladang solar terbesar di dunia dan infrastruktur penyimpanan bateri".

Jumlah tenaga boleh dibaharui yang diimport membentuk sekitar 15 peratus daripada jumlah keperluan elektrik Singapura, tambah syarikat itu.

EMA selanjutnya menyatakan: "Kelulusan bersyarat yang diberikan kepada Sun Cable mengiktiraf bahawa projek itu boleh berdaya maju secara teknikal dan komersial berdasarkan saranan dan maklumat yang dikemukakan setakat ini."

Ia akan memberikan sokongan kepada syarikat tersebut untuk terus membangunkan projek berkenaan, yang dijangka bermula selepas 2035.

Sun Cable mesti mengemas kini saranannya untuk memenuhi syarat-syarat EMA sebelum projek itu boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan lesen bersyarat.

Syarat-syaratnya termasuk pematuhan kepada keperluan teknikal EMA dan mencapai harga yang berdaya maju secara komersial yang boleh diterima oleh para pelanggan.

"Sun Cable juga perlu mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan dari bidang kuasa yang relevan, termasuk negara-negara yang akan dilalui oleh kabel itu," kata EMA.

Berucap semasa Sidang Puncak Tenaga Bersih Asia pada Selasa (22 Okt), Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng menyifatkan saranan itu sebagai "projek yang bercita-cita tinggi", mengambil kira skala dan jarak antara Australia dan Singapura.

"Masa akan diperlukan untuk membangunkannya, dan kami menjangkakan ia akan siap hanya selepas 2035," kata Dr Tan.

"Tetapi apabila siap kelak, projek itu akan menjadi pelengkap bermakna kepada Grid Tenaga ASEAN dan berfungsi sebagai sumber elektrik tambahan untuk Singapura."

Syarikat itu turut mendedahkan bahawa kabel itu akan dipasang di perairan Indonesia.

Ini bukan kali pertama projek seumpama itu disarankan. Sun Cable merancang untuk memulakan kerja-kerja pembinaan kabel dasar laut pada 2024 dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2029, tetapi syarikat itu diletakkan di bawah pentadbiran sukarela pada Januari 2023.

Firma itu mengalami kekurangan dana, yang diumumkannya selepas itu. Pentadbiran sukarela merujuk kepada proses di mana pengarah syarikat melantik pentadbir bebas untuk mencari huraian, yang biasanya menghadapi masalah kewangan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata pada Februari 2023 bahawa keputusan Sun Cable untuk berbuat demikian secara sukarela tidak menjejas Singapura dari segi kewangan kerana negara ini belum membuat sebarang komitmen terhadap projek itu.

Pada Mei tahun itu, pentadbir syarikat tersebut berkata ia telah diselamatkan oleh pemilik sebahagian dan usahawan teknologi Australia, Mike Cannon-Brookes.
Sumber : CNA/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita