Skip to main content

Singapura

SG beri kelulusan bersyarat pertama bagi usul import elektrik rendah karbon tidak lama lagi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura dijangka memberi kelulusan bersyarat pertamanya bagi usul untuk mengimport elektrik rendah karbon "tidak lama lagi", kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng pada Selasa (28 Feb).

Lebih daripada 20 saranan diterima di bawah permintaan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) bagi cadangan yang dikeluarkan pada 2021 dan 2022.

Ia sebahagian daripada rancangan Singapura untuk mengimport sehingga empat gigawatt elektrik rendah karbon menjelang 2035.

Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya, Dr Tan berkata sejak dua minggu lalu beberapa syarikat sudah menyerahkan saranan masing-masing untuk mengimport bekalan elektrik secara besar-besaran dari pelbagai negara.

"Projek yang menerima sokongan dari negara sumber dan memenuhi syarat kami akan menerima kelulusan bersyarat EMA," kata Dr Tan.

"Kami menjangkakan dapat memberi kelulusan bersyarat pertama tidak lama lagi."

Dr Tan menarik perhatian bahawa EMA sedang menjalankan percubaan secara kecil-kecilan sebagai persiapan menerima import skala lebih besar.

Ia termasuk Projek Integrasi Tenaga Lao PDR Thailand-Malaysia-Singapura yang bermula pada Jun tahun lalu, selain perjanjian bersama antara YTL PowerSeraya dan TNB Genco untuk mengeksport 100 megawatt elektrik dari Malaysia ke Singapura.

Sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sumber tenaga baru bagi Singapura, pihak berkuasa mengumumkan Strategi Hidrogen Singapura.

Ia menetapkan rancangan untuk membangunkan hidrogen sebagai "laluan utama mengurangkan pelepasan karbon" untuk sektor tenaga dan industri tempatan, serta menyokong komitmen Singapura untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050.
Pemerintah juga berharap dapat memanfaatkan lebih banyak tenaga bersih daripada matahari.

Singapura sudah menggunakan sekitar 800 megawatt tenaga suria setakat tahun lalu, dibandingkan dengan sekitar 500 megawatt-puncak pada pertengahan 2021.

“Sehingga separuh pertama tahun lalu, Singapura sudah pun menjadi salah satu bandar paling padat manfaatkan bekalan tenaga suria di dunia,” kata Dr Tan, sambil menambah bahawa negara ini berada di landasan untuk mencapai sasaran penggunaan panel suria sekurang-kurangnya 2 gigawatt- puncak menjelang 2030.

Dr Tan juga menarik perhatian pelancaran sistem simpanan tenaga suria sebanyak 285 jam megawatt di Pulau Jurong awal bulan ini.

Ia bagi memenuhi keperluan elektrik kira-kira 24,000 isi rumah yang menetap di flat empat bilik untuk satu hari.

Akhir sekali, pihak berkuasa juga sedang meneroka kesesuaian bentuk lain bekalan tenaga rendah karbon, seperti nuklear dan geoterma.

KUKUHKAN PASARAN TENAGA TEMPATAN

Dr Tan berkata pasaran tenaga global akan terus bergolak dalam tahun-tahun akan datang disebabkan oleh keadaan geopolitik dan tindakan iklim.

Mengambil iktibar daripada krisis tenaga Singapura baru-baru ini, dengan
pengunduran peruncit pada lewat 2021, pihak berkuasa akan mengemas kini pendekatan kawal selianya bagi mengukuhkan asas pasaran tenaga Singapura, tambahnya.

Pertama, Pemerintah akan memanggil tender yang kompetitif bagi keupayaan penjanaan baru dan membangunkan kapasiti baru jika tiada minat yang mencukupi dari syarikat penjanaan elektrik privet.

Ia akan membantu memastikan kapasiti penjanaan tenaga yang cukup untuk memenuhi permintaan.

Kedua, kemudahan bahan api tersedia yang ditubuhkan EMA sebagai sebahagian daripada langkah ketika krisis tenaga baru-baru ini akan dikekalkan sebagai ciri tetap.

Pemerintah juga sedang meneroka cara untuk mengumpulkan pemerolehan gas secara berpusat supaya mendapatkan lebih banyak kontrak yang selamat dan bagi tempoh lebih panjang.

Akhir sekali, EMA merancang untuk meningkatkan keperluan kawal selia terhadap peruncit elektrik supaya dapat mengukuhkan perlindungan bagi pengguna dan memastikan peruncit elektrik lebih berdaya tahan terhadap ketidaktentuan pasaran.

Pihak berkuasa sedang mendapatkan maklum balas mengenai rancangan itu dan perubahan muktamad dijangka diumumkan lewat tahun ini.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita