Skip to main content

Singapura

SG beri amaran terhadap pelibatan dalam pertubuhan dikaitkan dengan tentera Israel

Anggaran Waktu Membaca:
SG beri amaran terhadap pelibatan dalam pertubuhan dikaitkan dengan tentera Israel

Petikan skrin laman web Sar-El pada 2016. (Gambar: MHA/MINDEF)

Diterbitkan : 24 Mar 2026 02:44PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 05:06PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura memberi amaran pada Selasa (24 Mac) bahawa pelibatan dalam pertubuhan yang dikaitkan dengan tentera Israel, seperti Sar-El, tidak akan diterima dalam keadaan semasa dan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang.

Dalam satu kenyataan media bersama, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa laman web Sar-El menyebut bahawa ia "sangat komited untuk menyokong IDF (Pasukan Pertahanan Israel)", dan sukarelawannya "bekerja bersama-sama dengan askar di pangkalan IDF.

"Terlibat dalam pertubuhan seperti Sar-El berdasarkan keadaan semasa tidak akan diterima, dan tindakan akan diambil di bawah undang-undang terhadap sesiapa yang pelibatannya dalam aktiviti sedemikian didapati memudaratkan keselamatan dan kepentingan negara Singapura," menurut kementerian-kementerian tersebut.

Komen mereka dibuat selepas pihak berkuasa menyedari tentang catatan media sosial yang menimbulkan semula catatan blog lama yang menggalakkan penyertaan sebagai sukarelawan dengan Sar-El, sebuah pertubuhan perkhidmatan Israel, yang tidak mengaut untung.

Blog itu, yang ditulis oleh seorang rakyat Singapura sekitar 2018 atau 2019, diturunkan pada 2025 tetapi baru-baru ini dimuat naik semula oleh pengguna media sosial lain.

Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka mempersoalkan mengapa rakyat Singapura itu meminta orang lain menyertai IDF sebagai sukarelawan di Israel.
Related article image
Petikan skrin daripada laman web Sar-El pada 2026. (Gambar: MHA/MINDEF)
BAPA DAN ANAK JADI SUKARELAWAN DENGAN SAR-EL

Menurut kementerian-kementerian tersebut, penulis catatan blog dan bapanya menjadi sukarelawan dengan Sar-El sekitar tempoh dua minggu pada Disember 2016.

Pada pertengahan tempoh ini, bapa tersebut menulis kepada pihak berkuasa Singapura untuk bertanya sama ada anaknya boleh mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan dengan Sar-El sebagai sebahagian daripada program sukarelawan di sekolahnya di Amerika Syarikat.

Bapa tersebut memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa:

- Program itu dianjurkan oleh sukarelawan Israel dan Kor Logistik IDF

- Peserta Sar-El tidak mengangkat sumpah taat setia kepada IDF atau Israel

- Peserta tidak berkhidmat dalam peranan tempur atau mengangkat senjata. Sukarelawan mengendalikan kerja seperti membungkus, mengecat, mengisih, membersih, membasuh dan memasak

- Bapa dan anak memahami bahawa di bawah undang-undang Singapura, rakyat Singapura tidak boleh berkhidmat dalam pertubuhan ketenteraan asing

Pada masa itu, laman web Sar-El menyatakan bahawa ia membantu IDF, dan sukarelawannya akan bekerja di gudang IDF dan diberi lawatan berpandu ke beberapa lokasi di Israel, serta syarahan mengenai topik Yahudi dan Israel, menurut kementerian-kementerian tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapa tersebut dan laman web pada masa itu, pihak berkuasa menilai bahawa penyertaan dalam program sukarelawan Sar-El tidak disifatkan sebagai perkhidmatan dalam ketenteraan asing, meurut MHA dan MINDEF.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa juga memberitahunya bahawa penyertaan anaknya tidak disokong atau disahkan, dan akan dilakukan atas risiko individu itu sendiri.

"Pada masa pihak berkuasa membalas emel (bapa tersebut)..., (bapa dan anak) telah menamatkan program sukarelawan dua minggu mereka dengan Sar-El," menurut MHA dan MINDEF.

Tiada tindakan diambil terhadap kedua-duanya kerana aktiviti sukarelawan mereka pada masa itu tidak melibatkan peranan tempur.

Kementerian-kementerian tersebut menambah bahawa tiada maklumat yang menunjukkan bahawa kesukarelawanan kedua-duanya dalam Sar-El berkaitan dengan laporan baru-baru ini bahawa dua rakyat Singapura mungkin antara mereka yang berperang untuk IDF semasa konflik di Gaza.

CATATAN BLOG

Sekitar tahun 2018 atau 2019, anak tersebut menulis catatan blog yang merangkumi gambar dirinya dalam pakaian seragam istiadat Pasukan Kadet Kebangsaan.

Catatan itu mempunyai pautan ke laman webnya, yang turut mengandungi pautan untuk memindahkan pengguna ke laman web Kor Sar-El (Singapura).

Pada 2025, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berjumpa dengan bapa dan anak tersebut selepas mengetahui tentang catatan blog itu, menurut MHA dan MINDEF.

Berdasarkan siasatannya, ISD membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti ketenteraan dengan IDF, menurut kementerian-kementerian tersebut.

"Selepas ISD berjumpa dengan mereka, (anak tersebut) menurunkan catatan blog itu," tambah kementerian-kementerian itu, sambil menyatakan bahawa kedua-duanya tidak lagi terlibat dengan Sar-El.

"Sejak 2016, MINDEF tidak menilai sebarang permintaan serupa berkenaan Sar-El."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita