Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG berhasrat pertingkat kerjasama dengan negeri-negeri pantai timur

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA TERENGGANU: Singapura berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dengan negeri-negeri di Malaysia bukan hanya dengan ibu kota Kuala Lumpur.

Bidang-bidang yang berpotensi temasuk pelancongan, prasarana dan pendidikan.

Demikian pandangan Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman yang mengadakan lawatan ke Kelantan dan Terengganu Malaysia.

Lawatan Dr Maliki Osman ke pantai timur adalah sebahagian daripada usaha berterusan pemerintah untuk mendekati dan menguatkan hubungan jangka panjang dengan negeri-negeri di merata Malaysia.

Semasa lawatannya itu, beliau merujuk kepada antara daya tarikan di pesisir timur semenanjung Malaysia, iaitu pantai-pantai yang indah.

Namun, Dr Maliki berkongsi agak sukar sampai ke kawasan sedemikian sekarang ini.

Menggulung lawatan rasmi beliau itu, Dr Maliki berkata sektor pelancongan adalah satu sektor yang Singapura berupaya menghulurkan sokongan kepada jirannya.

Lantaran itu, beliau mengundang Kelantan dan Terengganu membuka pejabat pelancongan di Singapura.

"Sebelum ini, kita ada penerbangan langsung dari Kelantan dan Terengganu tetapi ini telah dihentikan. Pelancongan merupakan sektor ekonomi yang begitu besar di kedua-dua negeri.

"Saya rasa kita boleh menyokong sektor ini. Cabaran ialah bagaimana kita memastikan syarikat penerbangan merasa bahawa ini satu sektor yang mereka boleh sokong," kongsi Dr Maliki.

Dr Maliki turut bertemu dengan sebilangan pempimpin kerajaan negeri dan juga pihak swasta.

Menurut beliau, membangun keupayaan adalah satu lagi bidang yang boleh diterokai bersama.

Misalnya, Singapura boleh berkongsi kepakaran teknikalnya dalam pembangunan prasarana, perancangan bandar dan pengurusan sumber air.

Beliau menambah: "Singapura sebelum ini merupakan negara yang menjadi penerima bantuan kepada negara-negara maju dan kita mempunyai pengalaman dalam menangani aspek pembangunan.

"Saya mengesyorkan kepada mereka jika mereka sudi, mereka boleh menghantar pegawai mereka ke Singapura untuk berlatih untuk kita berkongsi bersama."

Dr Maliki yang juga merangkap Menteri Kedua Pendidikan sempat bertemu dengan penuntut Universiti Malaysia, Terengganu.

Universiti itu berkerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang seperti pengurusan maritim dan kemampanan sekitaran.

Beliau menzahirkan harapan agar universiti di kedua-dua negara akan mewujudkan peluang-peluang baru untuk generasi muda agar mereka boleh bekerjasama dengan lebih erat lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan