Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG berhasrat pertingkat kerjasama dengan China ke 'tahap seterusnya', kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
SG berhasrat pertingkat kerjasama dengan China ke 'tahap seterusnya', kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Setiausaha Parti Guangdong, Huang Kunming, pada 29 Mac 2023.

GUANGZHOU: Singapura mahu hubungannya dengan China dipertingkatkan ke "tahap seterusnya", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada pagi Rabu (29 Mac), pada hari ketiga lawatan rasminya yang pertama ke China dalam tempoh empat tahun.

PM Lee berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Parti Guangdong, Huang Kunming buat kali pertama di Guangzhou, iaitu ibu kota wilayah Guangdong di bahagian tenggara China.

Encik Huang, 66 tahun, turut menghoskan jamuan tengah hari bagi PM Lee, dan beliau adalah anggota Politburo Parti Komunis China (CCP) dan dilantik untuk menyandang jawatan tertinggi di Guangdong itu pada Oktober lalu.

Beliau sebelum itu adalah ketua propaganda CCP dan menghabiskan sebahagian besar kerjaya politiknya di wilayah Fujian dan Zhejiang, di mana beliau pernah bertugas di bawah Encik Xi Jinping sebelum Encik Xi menjadi Presiden China pada 2013.

Dalam mesyuaratnya bersama Encik Huang, PM Lee menyifatkan hubungan Singapura dengan China sebagai "amat baik" secara keseluruhannya.

"Kami ingin - memandangkan China sudah menamatkan Kongres Parti ke-20, Lianghui (Dua Sesi), dan akan terus melaksanakan dasar-dasar baru bagi fasa seterusnya - mempertingkatkan kerjasama kita ke tahap seterusnya."

PM Lee bagaimanapun tidak memberikan perincian lanjut.

Awal dari itu, Encik Huang mengalu-alukan kerjasama dua hala antara China dan Singapura.

Tambahnya, berdasarkan "kata sepakat yang penting" antara Presiden Xi dan PM Lee, Guangdong akan mengukuhkan kerjasamanya dengan Singapura.

Antara bidang-bidang yang wilayah itu berharap dapat belajar dari Singapura, kata Encik Huang, adalah perancangan bandar, pembangunan ekonomi, perkapalan, khidmat kewangan dan pengilangan.

PM Lee tiba di Guangzhou pada tengah hari Isnin (27 Mac) dan disambut oleh para pegawai China, termasuk Naib Gabenor Guangdong Zhang Xin dan Duta China ke Singapura Sun Hai Yan.

Ini merupakan lawatan pertama PM Lee ke bandar itu dalam hampir sedekad. Beliau kali terakhir melakukan lawatan ke China pada April 2019 di mana beliau menghadiri Forum Jaluran Ekonomi Laluan Sutera (BRFIC) di Beijing.

Selain isterinya, Cik Ho Ching, beberapa menteri turut mengiringi PM Lee dalam lawatannya yang akan berakhir pada Sabtu (1 Apr).

Mereka adalah: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Sim Ann dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang Rahayu Mahzam.
Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan