Skip to main content

Singapura

SG berhasrat jadi pangkalan bagi firma teksi udara; CAAS bekerjasama dengan rakan serantau hasil garis panduan

Anggaran Waktu Membaca:
SG berhasrat jadi pangkalan bagi firma teksi udara; CAAS bekerjasama dengan rakan serantau hasil garis panduan

(Gambar fail: Roslan RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 10 Nov 2023 05:59PM Dikemas Kini : 10 Nov 2023 06:00PM
SINGAPURA: Singapura ingin menjadi pangkalan bagi operasi syarikat teksi udara dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serantau yang lain untuk menyediakan garis panduan bagi penggunaan teksi udara.

Dengan teknologi itu semakin berkembang di seluruh dunia, Singapura memulakan mesyuarat pertama bagi pengawal selia Asia-Pasifik mengenai penggunaan pesawat canggih dan sistem pesawat tanpa pemandu pada Khamis (9 Nov).

Mesyuarat itu, yang bertujuan untuk memupuk kerjasama dan mengumpulkan sumber bagi mengurangkan risiko, dihadiri wakil dari 17 pihak berkuasa penerbangan awam dari rantau ini, termasuk dari China, India, Jepun, New Zealand dan Papua New Guinea.

Mereka menetapkan sasaran untuk menghasilkan satu set bahan rujukan menjelang 2025 yang boleh disesuaikan dan digunakan oleh setiap negara untuk mentadbir operasi teksi udara dan dron.

Teksi udara dan dron dijangka mengubah cara orang bekerja, bergerak dan hidup.

Di Eropah, misalnya, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesahkan bahawa teksi udara selamat untuk membawa penumpang di Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Teksi udara adalah pesawat kecil yang boleh membuat penerbangan jarak pendek.

GARIS PANDUAN UNTUK TEKSI UDARA, OPERASI DRON

Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata pengawal selia perlu ikut perkembangan teknologi untuk meraih faedah sepenuhnya, sambil memastikan keselamatan awam dan penerbangan.

"Ia amat mencabar, memandangkan teknologi ini baharu, pesat berkembang dan dari segi penggunaan, kekangan sumber serta keutamaan persaingan," katanya.

Beberapa syarikat teksi udara mungkin mahu menggunakan Singapura sebagai pangkalan "untuk menubuhkan perniagaan serta mengendalikan teksi udara masuk dan keluar dari Singapura", tambahnya.

"Kerjasama kami dengan negara ini akan membolehkan kami memahami keperluan dengan lebih baik, dan seterusnya menyokong aplikasi tersebut."

Di mesyuarat itu juga, dua bidang keutamaan untuk dron dikenal pasti iaitu bimbingan teknikal dan latihan kakitangan, seperti kelayakan yang diperlukan untuk kakitangan menggunakan bahan panduan yang dihasilkan.

Bagi teksi udara, mereka menekankan enam keutamaan termasuk pensijilan, kerjasama antara agensi kebangsaan, peraturan untuk aktiviti komersil dan pendidikan awam untuk menggalakkan penerimaan.

Sebanyak 24 institut dan syarikat sektor swasta turut berkongsi pandangan mereka.

Pengeluar aeroangkasa Vertical Aerospace berkata ia sudah menggunakan Singapura sebagai pangkalannya untuk memasuki pasaran di rantau ini.

“Kami sudah menjual 1,500 pesawat, di mana satu pertiga daripadanya … terletak di rantau APAC,” kata Encik Derek Cheng, ketua komersil (Asia-Pasifik) di Vertical Aerospace.

“Kami percaya bahawa Singapura - berada di tengah-tengah APAC - mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan bukan sahaja untuk menyokong pesawat itu memulakan perkhidmatan, tetapi memperluaskan kedudukan dalam sektor MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih), serta bekalan itu sendiri dari segi penggunaan teknologi baharu ini.”

MADA DEPAN TEKSI UDARA

Dr Terence Fan, penolong profesor strategi dan keusahawanan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata: “Dari segi penggunaannya untuk riadah, sentiasa ada minat untuk menaiki teksi udara ini bagi mereka yang ingin melihat tempat dan pemandangan yang indah."

Dari perspektif keperluan perniagaan, teksi udara biasanya digunakan untuk ke destinasi yang ada perkhidmatan terhad, katanya kepada Mediacorp.

Penggunaan teksi udara lebih diperlukan di bandar "metropolitan lain di sekitar rantau ini dengan isu lebih besar melibatkan kesesakan lalu lintas", kata Dr Fan.

“(Bagi) Singapura, keadaan trafik kami tidak begitu teruk,” tambahnya.

Pemerhati berkata mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam menggunakan teksi udara bagi perjalanan merentasi sempadan, di sebalik kemudahan yang ditawarkan.

"Jadi saya fikir dalam masa terdekat, kita harus buat perancangan bagi teksi udara ini berhenti di pusat pemeriksaan sebelum dibenarkan pergi lebih jauh."
Sumber : CNA/SS/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita