Skip to main content

Singapura

SG berhasrat jadi hab emas serantau sedang permintaan jongkong emas meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
SG berhasrat jadi hab emas serantau sedang permintaan jongkong emas meningkat

Pengendali peti penyimpanan privet Singapura secara kolektif menyimpan logam berharga bernilai berbilion dolar untuk pelanggan di seluruh dunia.

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 07:24PM Dikemas Kini : 08 Jun 2026 07:25PM
SINGAPURA: Singapura berhasrat untuk meletakkan kedudukannya sebagai pusat serantau bagi perdagangan dan penyimpanan emas, memandangkan permintaan bagi jongkong emas semakin meningkat di seluruh Asia.

Syarikat-syarikat dalam industri ini menyatakan bahawa minat untuk menyimpan emas di negara itu semakin meningkat dalam kalangan pelabur dan institusi dari pasaran seperti India, Indonesia, dan Vietnam.

Mereka tertarik dengan reputasi Singapura yang stabil, selamat, dan mempunyai tadbir urus yang kukuh.

Singapura juga menyasarkan bank-bank pusat yang sedang mencari lokasi alternatif untuk menyimpan dan berdagang emas, sedang mereka menilai semula strategi rizab masing-masing di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang kian meningkat.

LOKASI SELAMAT JADI DAYA TARIKAN

Para pemerhati menyatakan bahawa Singapura boleh menawarkan alternatif serantau yang dipercayai kepada bank-bank pusat Asia, berbanding pusat penyimpanan tradisional di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sekalipun demikian, peraturan yang lebih jelas diperlukan untuk menyokong urus niaga yang selamat dan pertumbuhan lanjut dalam sektor ini.

"Dengan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak bank pusat benar-benar memikirkan bidang kuasa mana yang paling sesuai untuk mereka meletakkan salah satu rizab negara yang paling penting," kata Encik Shaokai Fan, ketua global bank pusat dan ketua Asia-Pasifik (tidak termasuk China) di Majlis Emas Dunia.

Encik Fan berkata jika bank-bank pusat memilih untuk menyimpan emas di Singapura, mereka juga mungkin mula membeli dan berdagang jongkong emas di sini.

Ini sekali gus membantu memperkukuh pasaran tempatan dan "meningkatkan nama baik keupayaan perdagangan emas Singapura".

Pengendali bilik penyimpanan peribadi di Singapura secara bersama menyimpan logam berharga bernilai berbilion-bilion dolar untuk pelanggan dari seluruh dunia.

Syarikat The Safe House menyimpan logam berharga bernilai sekitar S$4 bilion, dengan sebahagian besar pelanggannya datang dari Eropah, Australia, dan Amerika Syarikat.

Syarikat itu juga melabur dalam teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan aset yang disimpan.

Penyimpanan jangka panjang boleh disokong oleh sistem bukti rizab yang membolehkan pemilik mengesahkan kewujudan emas mereka serta meningkatkan ketelusan, tambah beliau.

KEPASTIAN UNDANG-UNDANG DIPERLUKAN

Beberapa bilik penyimpanan emas terbesar di dunia dikendalikan oleh Bank Rizab Persekutuan New York - yang memegang sekitar 6,000 tan emas dan pernah menyimpan sehingga 12,000 tan pada satu ketika - dan Bank of England, yang memegang kira-kira 5,000 tan emas.

Walaupun Singapura mungkin tidak dapat menandingi kapasiti penyimpanan tersebut, pemain industri berkata bahawa menetapkan peraturan yang jelas tentang hak milik dan akses adalah kunci utama untuk menarik simpanan emas tersebut.

Encik Fan berkata isu-isu berkaitan bidang kuasa dan hak milik sah ke atas emas menjadi semakin penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau memberi contoh pertikaian berlarutan yang melibatkan emas Venezuela yang disimpan di Bank of England sebagai contoh cabaran yang boleh berlaku.

Pemain industri juga menyatakan bahawa aturan penjagaan di pusat perdagangan utama menjadikan emas lebih berguna dalam sistem kewangan.

"Sebab mengapa orang ramai perlu meletakkan emas mereka dalam jagaan rasmi ialah jika anda meletakkan emas anda... di bawah tilam, ia tidak boleh digunakan kerana ia terasing daripada sistem kewangan," kata Encik Albert Cheng, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pasaran Jongkong Singapura.

Untuk mengembangkan pasaran jongkong emas, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kini sedang bekerjasama dengan pemain industri untuk membangunkan produk pelaburan emas dan mewujudkan sistem pengurusan urus niaga bagi menyokong perdagangan emas.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita