Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG berdepan ekonomi diramal "serba tidak menentu dan goyah", inflasi bakal merosot

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Apr 2023 01:46PM Dikemas Kini : 26 Apr 2023 08:50PM

SINGAPURA: Singapura berdepan dengan ekonomi yang diramal "serba tidak menentu dan goyah" dalam masa terdekat sedang kelembapan industri elektronik dan kejatuhan bank luar negara baru-baru ini menjejas prospek pertumbuhan.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (26 Apr).

Sekalipun demikian, inflasi teras yang kekal sekitar paras tertinggi dalam beberapa tahun, dijangka "merosot dengan lebih ketara" pada separuh kedua 2023, tambah MAS dalam semakan makroekonomi separuh tahunnya.

Ekonomi Singapura "tumbuh pada rentak yang lebih perlahan" sejak hujung tahun lalu. Pertumbuhan dari tahun ke tahun merosot kepada 2.1 peratus pada suku keempat 2022 sebelum susut lagi kepada 0.1 peratus dalam tiga bulan pertama 2023.

Kelembapan itu sebahagian besarnya disebabkan penguncupan sektor-sektor berkaitan perdagangan di tengah-tengah kemerosotan perdagangan dan perkilangan global, khususnya bagi elektronik.

"Perkilangan dan perdagangan elektronik mempunyai kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi Singapura berbanding kitaran ekonomi global yang lebih meluas, memandangkan kaitan mendalam dan meluas antara perdagangan dengan rantaian bekalan elektronik di rantau ini," menurut bank pusat itu.

MAS menjangkakan industri elektronik global akan merosot pada separuh pertama 2023. Selepas itu, ia diramalkan tidak menentu disebabkan kenaikan kadar faedah dan risiko pembahagian dalam rantaian bekalan teknologi global.

Ini bermakna industri elektronik tempatan mungkin melihat "pemulihan lebih ketara bergantung kepada ramalan peningkatan permintaan global" pada separuh kedua 2023.

Pertumbuhan sektor kewangan dijangka lebih perlahan di tengah-tengah unjuran luaran yang semakin suram, inflasi berterusan dan kekangan keadaan kewangan. Selain itu, kemelut perbankan baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memburukkan lagi keprihatinan mengenai kesan lebih meluas dalam sektor tersebut, sekali gus meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan.

Menurut MAS, walaupun para pengawal selia campur tangan untuk menghadkan kesannya, ramalan kekal serba tidak menentu kerana "faktor-faktor yang belum diketahui" mungkin timbul dalam kalangan bank-bank di seluruh dunia yang tidak mempunyai modal yang mencukupi bagi suku-suku mendatang.

Tambahnya, sistem perbankan tempatan "nampaknya dilindungi daripada kejutan itu" buat masa ini.

MAS turut menekankan bahawa pengambilalihan Credit Suisse oleh UBS tidak dijangka menjejas kestabilan sistem perbankan Singapura.

"Ramalan tempoh terdekat kekal tidak stabil dan goyah, dengan risiko kepada pertumbuhan," menurut MAS yang mengekalkan ramalan tahunannya bagi pertumbuhan pada 2023 antara 0.5 hingga 2.5 peratus.

INFLASI AKAN MEROSOT

Mengenai inflasi, MAS menyatakan, inflasi teras, tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet, semakin meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama 2023.

Ia mencerminkan kenaikan harga pembeli daripada kenaikan satu peratusan mata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta tekanan kos perniagaan di tengah-tengah pasaran tenaga buruh domestik yang tegang.

Bank pusat menjangkakan inflasi teras akan kekal terapung dalam beberapa bulan akan datang sedang perniagaan "terus menaikkan harga pada rentak yang stabil" untuk memindahkan kenaikan kos.

"Namun, (inflasi teras) kelihatan seperti akan menjadi lebih sederhana dan akan merosot dengan ketara pada separuh kedua 2023," menurut MAS.

MAS menambah pada Rabu, ia menjangkakan inflasi teras akan merosot kepada sekitar 2.5 peratus menjelang hujung 2023. Bagi tahun ini, jurang ramalan kekal antara 3.5 hingga 4.5 peratus.

Inflasi 2023 secara keseluruhan dijangka "berada pada kadar lebih tinggi", iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus, mencerminkan bekalan COE yang masih terbatas dan kos penginapan agak tinggi.

Tidak termasuk kesan kenaikan GST, inflasi teras dan inflasi keseluruhan dijangka lebih rendah, masing-masing dengan purata sekitar 2.5 hingga 3.5 peratus dan 4.5 hingga 5.5 peratus.

Sumber : CNA/NY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan