Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG berdepan cabaran baru lebih rumit; kepercayaan antara kepimpinan politik dan rakyat kunci kekuatan

Anggaran Waktu Membaca:
SG berdepan cabaran baru lebih rumit;  kepercayaan  antara kepimpinan politik dan rakyat kunci kekuatan

Presiden Halimah Yacob berucap di Parlimen pada 10 Apr 2023.

Diterbitkan : 10 Apr 2023 09:03PM Dikemas Kini : 10 Apr 2023 10:06PM
SINGAPURA: Singapura akan berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang lebih sengit dan mencabar, sedang negara ini melangkah ke fasa baru di mana dunia dijangka semakin 'berbahaya dan bermasalah'.

Peperangan di Ukraine masih belum menunjukkan sebarang tanda ia akan berakhir. Dan persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka akan bertambah sengit, sedang ketegangan di Selat Taiwan dan Laut China Selatan pula adalah sesuatu yang bukan sahaja memprihatinkan masyarakat antarabangsa tetapi juga boleh bertukar menjadi sesuatu yang sangat meruncing dengan sekelip mata.

Presiden Halimah Yacob membangkitkan keprihatinan-keprihatinan itu ketika menyampaikan ucapannya semasa merasmikan pembukaan penggal kedua Parlimen ke-14 pada Isnin (10 Apr).

DUNIA YANG LEBIH RENCAM

Sekalipun ancaman COVID-19 tidak lagi membayangi kita, aturan global akan dibentuk semula disebabkan oleh persaingan geopolitik yang lebih strategik.

Kuasa-kuasa besar dunia kini lebih menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengukuhkan kelebihan masing-masing daripada memperkuatkan sistem berbilang pihak.

Maka itu, menurut Presiden Halimah, penting untuk Singapura mengukuhkan kedudukannya di persada dunia.

MENGUKUHKAN KEDUDUKAN SINGAPURA DI PENTAS ANTARABANGSA

Sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura perlu terus berwaspada dan bersikap proaktif terhadap usaha untuk melindungi rakyat dan negara ini daripada ancaman-ancaman luar.

Lantaran itu, Singapura perlu terus membina rangkaian rakan kongsi yang lebih bersepadu untuk memajukan kepentingan kita bersama.

Singapura, menurut Presiden Halimah lagi, juga perlu terus mempertahankan kedaulatan negara ini serta menentukan sendiri hala tuju dan mencorak masa depannya seperti yang telah kita lakukan sejak mencapai kemerdekaan.

MENGEMBANGKAN EKONOMI SINGAPURA

Perpaduan juga memainkan peranan penting sedang kita mengharungi cabaran-cabaran ekonomi yang dijangka lebih genting pada masa akan datang.

Perdagangan sejagat dan aliran pelaburan juga akan terhambat, dengan pemerintah ekonomi-ekonomi besar akan menghulurkan sokongan kewangan untuk membangunkan industri-industri strategik dan mengukuhkan kelebihan industri masing-masing.

Ini malangnya akan mewujudkan persekitaran dan persaingan yang lebih sengit kepada Singapura dan rakyatnya.

Maka itu, penting untuk Singapura terus melabur dalam inovasi untuk menjana pertumbuhan dalam bidang-bidang baru yang melibatkan pendigitalan dan kemampanan.

Singapura juga mesti mengukuhkan kerjasama tiga pihak antara Pemerintah, majikan dan pekerja.

Jika kita bijak menyesuaikan diri dan pantas bertindak, Singapura akan dapat memanfaatkan kelebihan daya saingnya untuk meletakkan negara ini dalam kedudukan yang lebih baik untuk terus bersaing dalam persekitaran yang baru.

MEMPERKUKUHKAN KOMPAK SOSIAL KITA

Untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam dunia yang bermasalah, Pemerintah dan rakyat perlu bersatu padu dan mengukuhkan kompak sosial negara ini. Setiap rakyat Singapura mesti merasakan bahawa mereka mempunyai kepentingan dalam negara ini.

Hasil kejayaan Singapura, menurut Presiden Halimah, mestilah dikongsi dengan adil dan saksama dan tiada seorang pun yang merasakan seolah-olah diri mereka ketinggalan.

"Inilah matlamat utama Melakar Hala Tuju Singapura yang bertujuan untuk mengukuhkan kompak sosial kita sedang Pemerintah menyusun semula strategi-strateginya," kata beliau.

Pasukan pemimpin 4G telah mendampingi lebih 14,000 rakyat Singapura sepanjang enam bulan yang lalu dan mereka akan terus melibatkan lebih ramai rakyat dalam inisiatif tersebut.

Di samping itu, Pemerintah akan membangunkan Singapura sebagai sebuah bandar bijak dan mempertingkatkan ketersambungannya dengan negara-negara dunia yang lain.

Pemerintah, menurut Presiden Halimah, juga akan mengukuhkan jati diri rakyat negara ini dan sikap bertanggungjawab terhadap satu sama lain.
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan