Skip to main content

Singapura

SG bentang undang-undang gariskan cara pekerja boleh fail tuntutan diskriminasi di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
SG bentang undang-undang gariskan cara pekerja boleh fail tuntutan diskriminasi di tempat kerja

Para pekerja pejabat berjalan di Daerah Pusat Perniagaan Singapura. (Gambar fail: iStock/3yephotography)

Diterbitkan : 14 Oct 2025 08:34PM Dikemas Kini : 14 Oct 2025 08:45PM
SINGAPURA: Satu draf undang-undang yang menggariskan bagaimana pekerja boleh memfailkan tuntutan diskriminasi di bawah Akta Keadilan di Tempat Kerja yang baharu dibentangkan oleh Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash di Parlimen pada Selasa (14 Okt).

Rang Undang-Undang itu menyusuli Rang Undang-Undang sebelumnya mengenai undang-undang anti-diskriminasi yang penting, iaitu mengenai perkara yang akan dilindungi ole undang-undang dan perkara yang dijangka dipatuhi oleh majikan.

Rang Undang-Undang baharu itu memberi tumpuan kepada proses penyelesaian pertikaian dengan mencadangkan rangka kerja penyelesaian pertikaian yang bertujuan membantu pihak-pihak mencari penyelesaian "damai, cepat dan adil", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu taklimat mengenai draf undang-undang tersebut.

"Tuntutan diskriminasi di tempat kerja boleh menjadi satu perkara yang sensitif dan memecahbelahkan masyarakat. Rakan kongsi tiga pihak bersetuju memelihara keharmonian di tempat kerja harus kekal sebagai keutamaan apabila melakarkan proses penyelesaian pertikaian," tambah MOM.

Pada Januari, para penggubal undang-undang sebulat suara menyokong Rang Undang-Undang pertama yang menggubal Akta Keadilan di Tempat Kerja dan menetapkan usia, kewarganegaraan, jantina, bangsa dan ketidakupayaan sebagai bidang di mana pekerja dilindungi daripada diskriminasi.

Majikan yang melanggar undang-undang boleh diarahkan untuk menghadiri bengkel pendidikan dan membayar penalti kewangan.

Parlimen dijangka akan membahaskan Rang Undang-Undang kedua pada November. Jika ia diluluskan sebagai undang-undang, Akta Keadilan di Tempat Kerja dijangka akan berkuat kuasa pada 2027.

PENGANTARAAN DAN HAD MASA

MOM menyatakan proses penyelesaian pertikaian yang diusulkan menggalakkan pihak yang terlibat untuk menyelesaikan pertikaian secara damai antara satu sama lain.

Di bawah draf undang-undang itu, langkah pertama bagi pekerja yang mengalami diskriminasi di tempat kerja adalah untuk memaklumkan perkara itu kepada majikan mereka.

Perkara itu dijangka melalui proses pengendalian aduan syarikat, di mana syarikat-syarikat wajib menyediakannya di bawah Akta Keadilan di Tempat Kerja.

Jika perkara itu tidak dapat diselesaikan secara dalaman, kedua-dua pihak perlu cuba menjalani proses pengantaraan sebagai huraian kedua sebelum memohon proses penghakiman sebagai pilihan terakhir, menurut MOM.

Para pemohon kerja yang berdepan diskriminasi semasa tempoh pengambilan kerja tidak wajib untuk melalui proses aduan dalaman syarikat sebelum mencuba pengantaraan.

Mereka boleh menghubungi Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) untuk mendapatkan bantuan.

Para pekerja juga perlu mematuhi "had masa", iaitu had masa yang ditetapkan di mana mereka harus membuat tuntutan keadilan di tempat kerja.

Had masa dikira dari tarikh notis majikan kepada pekerja mengenai keputusan yang dipertikaikan.

Ia berbeza bergantung pada peringkat pekerjaan.

PENGHAKIMAN DAN JUMLAH TUNTUTAN

Jika kes dibawa ke mahkamah, Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) akan mendengar tuntutan keadilan di tempat kerja yang melibatkan jumlah sehingga S$250,000.

Had S$250,000 ditetapkan pada had bagi kes tuntutan sivil yang didengar di Mahkamah Daerah, menurut MOM.

Tuntutan keadilan di tempat kerja yang melebihi had itu akan didengar di Mahkamah Tinggi, seperti tuntutan sivil lain.

MOM menyatakan hadlebih tinggi untuk tuntutan keadilan di tempat kerja tidak bermaksud bahawa ia dijangka mencapai jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding tuntutan pekerjaan lain.

Sebaliknya, tujuannya adalah untuk memastikan bahawa "sebahagian besar" tuntutan Akta Keadilan di Tempat Kerja didengar oleh ECT.

Bagi tuntutan yang melibatkan diskriminasi pada peringkat pra-pekerjaan, terdapat had pampasan sebanyak S$5,000.

Ini adalah cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tiga Pihak bagi Keadilan di Tempat Kerja, memandangkan tidak ada hubungan pekerjaan antara pencari kerja dan syarikat.

CIRI-CIRI PERBICARAAN KEADILAN DI TEMPAT KERJA

Tuntutan keadilan di tempat kerja di kedua-dua ECT dan Mahkamah Tinggi akan dibicarakan secara tertutup.

MOM menyatakan bahawa perbicaraan tertutup akan memelihara keharmonian tempat kerja dan sosial dengan meminimumkan peningkatan ketegangan sosial dan kemarahan awam terhadap pihak-pihak yang terlibat, terutamanya apabila kes sedang berlangsung.

Perbicaraan tertutup juga akan membolehkan pihak-pihak berkongsi pandangan jujur mereka dan memberi tumpuan kepada kes yang sedang berjalan, tanpa kehadiran pihak ketiga yang mungkin salah mewakili atau menyensasikan pertikaian tersebut, menurut Kementerian itu.

Kedua-dua ECT dan Mahkamah Tinggi akan menggunakan pendekatan "dipimpin Hakim", di mana Hakim mengambil peranan proaktif dalam menguruskan kes tersebut, tambah MOM.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita