Skip to main content

Singapura

SG bentang pelan sokong dagangan emas sedang minat kian meningkat

Singapura akan membangunkan langkah-langkah untuk memperkukuh ekosistem emas negara, kata Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Chee Hong Tat pada Jumaat (27 Mac), sedang minat para pelabur untuk menyimpan dan berdagang emas di sini semakin meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Mar 2026 01:28PM Dikemas Kini : 27 Mar 2026 09:45PM
SINGAPURA: Singapura akan membangunkan langkah-langkah untuk memperkukuh ekosistem emas negara, kata Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Chee Hong Tat pada Jumaat (27 Mac), sedang minat para pelabur untuk menyimpan dan berdagang emas di sini semakin meningkat.

Secara khusus, langkah-langkah tersebut akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara seperti meningkatkan prasarana fizikal Singapura bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan emas, serta menyediakan khidmat penyimpanan emas kepada bank-bank pusat asing dan entiti-entiti berdaulat.

Bidang tumpuan lain termasuk memperluaskan rangkaian produk pasaran modal berkaitan emas, serta mewujudkan sistem penjelasan dan pelunasan bagi memastikan pemindahan selamat dilakukan bagi aset seperti jongkong emas besar dan emas kilobar.

Jongkong besar merujuk kepada jongkong emas sekitar 12.4 kilogram, iaitu piawaian pilihan di pasaran London bagi dagangan dan pelunasan institusi, manakala emas kilobar seberat satu kilogram merupakan piawaian pilihan di pasaran Asia.

Encik Chee, yang juga Menteri Pembangunan Negara, berkata pembangunan pasaran emas akan menambah satu lagi tunggak kepada tawaran sedia ada Singapura dalam pengurusan kekayaan dan aset.

“Jika anda lihat secara keseluruhan … dalam ekosistem industri perkhidmatan kewangan yang lebih luas, segmen dagangan emas ini sebenarnya sesuai,” kata beliau.

Jika dilaksanakan dengan baik, Singapura boleh muncul sebagai hab dagangan emas, menarik lebih banyak aset serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, tambah beliau.

MAS dan Persatuan Pasaran Jongkong Emas Singapura, yang menubuhkan Kumpulan Kerja Pembangunan Pasaran Emas pada Januari tahun ini, bersama-sama mengumumkan bidang tumpuan tersebut selepas mengadakan perbincangan dan kajian dengan pemain-pemain industri.

Sebagai contoh, Encik Chee berkata industri memberi maklum balas berhubung permintaan daripada bank pusat asing bagi kemudahan penyimpanan emas di Singapura.

Khidmat serupa turut ditawarkan di bandar-bandar seperti New York.

Aspek keselamatan dan perlindungan menjadi pertimbangan utama dalam bidang tersebut, dan ia merupakan kelebihan Singapura, kata beliau.

“Kami dilihat sebagai pusat kewangan yang boleh diyakini. Singapura adalah tempat yang selamat,” kata Encik Chee.

PERSAINGAN SENGIT?

Menjawab soalan berhubung perjanjian Hong Kong dengan Bursa Emas Shanghai baru-baru ini, Encik Chee berkata Singapura sudah biasa berdepan dengan persaingan.

Beliau menambah bahawa permintaan bagi dagangan emas meningkat dalam sekitaran global yang tidak menentu, dan adanya keperluan bagi hab dagangan yang selamat dan diyakini di Asia.

“Antara Singapura dan pusat-pusat kewangan lain di Asia, contohnya Hong Kong, saya rasa ruang ini cukup besar untuk kita wujud bersama dan untuk kedua-dua bandar berkembang dalam perkhidmatan masing-masing,” kata beliau.

Segmen pelanggan dan pasaran tidak benar-benar sama, jadi mungkin terdapat persaingan dalam beberapa bidang dan kerjasama dalam perkara-perkara lain, tambah Encik Chee.

Apabila ditanya bagaimana penjualan emas baru-baru ini mungkin menjejas rancangan MAS, beliau berkata Singapura tidak bergantung kepada pergerakan harga jangka pendek, sebaliknya membina ekosistem supaya dagangan emas dapat berpusat di sini.

Beliau mengibaratkannya seperti menanam pokok dan memastikan persekitaran yang sesuai dan menarik.

“Dalam jangka panjang, jika anda membuat pelaburan yang tepat dalam bidang yang betul, ekosistem akan berkembang dan hasilnya akan dapat dituai,” kata beliau.

Kumpulan kerja tersebut, yang merangkumi bank dan disokong oleh pengendali peti simpanan serta penapis logam berharga, akan memberikan maklumat lanjut dan kemas kini sepanjang tahun ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita