SG batal permit kerja lelaki Taiwan; diekstradisi selepas didapati miliki Kpod
Lelaki berusia 26 tahun itu diberkas pada 21 Oktober 2025, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (18 Dis).
Lelaki tersebut adalah antara enam warga asing yang menyalahgunakan etomidate dan sudah diekstradisi atau sedang menunggu untuk diekstradisi, menurut kenyataan bersama itu.
“Warga asing yang menetap di Singapura diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, jika tidak, mereka boleh dibatalkan pas kerja serta dilarang daripada bekerja di Singapura,” menurut MOH dan HSA.
Pihak berkuasa memaklumkan dalam tempoh tiga bulan sejak rangka kerja antipenggunaan vape yang dipertingkat dikuatkuasakan, pihaknya menangkap dan mengenakan denda ke atas 2,710 individu atas kesalahan berkaitan vape, dengan 257 daripada mereka memiliki vape yang mengandungi etomidate.
Daripada 257 penyalah guna etomidate itu, 162 ditempatkan dalam program pemulihan di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan agensi-agensi khidmat sosial. Siasatan terhadap 70 individu lain masih dijalankan.
Walaupun kebanyakan pesalah mematuhi perintah pemulihan, tiga pesalah yang ingkar sudah didakwa di mahkamah kerana gagal menghadiri janji temu pertama bagi pemulihan mereka.
Para pesalah tersbeut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Seorang lagi pesalah yang mengingkari perintah pemulihan sedang disiasat.
Empat pesalah lain, yang juga merupakan pesalah berulang, gagal menghadiri sesi pemulihan vape dan turut disiasat, menjadikan jumlah pesalah yang ingkar perintah dari 1 September hingga 30 November sebanyak lapan orang.
Tindakan antipenggunaan vape lain yang diambil MOH dan HSA termasuk:
- Antara September dan November 2025, HSA mendakwa 10 individu kerana dipercayai mengedar pod-pod etomidate.
- Pihak berkuasa memberkas 46 individu yang menyeludup vape biasa di pusat pemeriksaan darat, udara dan laut Singapura. Secara keseluruhan, lebih 26,000 vape dan komponennya dirampas.
- Lebih 3,200 kes berhubung kegiatan vape dilaporkan melalui borang laporan online dan talian hotline HSA.
- HSA menurunkan lebih 830 penyenaraian berkaitan vape yang didapati online, laman web yang menyalahi undang-undang dan kumpulan Telegram, serta mengambil tindakan terhadap 15 individu yang memuat naik kandungan di mana mereka menghisap atau memiliki vape di media sosial.
Dalam tempoh tiga bulan lalu sejak undang-undang lebih ketat dikuatkuasakan, 72 individu secara sukarela mendaftarkan diri ke dalam program untuk berhenti menggunakan etomidate, manakala 310 lagi menyertai program "I Quit" anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Di bawah rangka kerja antipenggunaan vape yang dipertingkat, yang berkuat kuasa pada September 2025, mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape kini berdepan hukuman lebih berat, dan para pengguna berulang akan diwajibkan untuk menjalani pemulihan.
Mereka yang gagal menamatkan program pemulihan akan didakwa. Para pesalah yang ditangkap menggunakan vape buat kali ketiga dan seterusnya akan didakwa di mahkamah dan berdepan denda hingga S$2,000.
Kesalahan melibatkan etomidate pula membawa hukuman yang jauh lebih berat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.