Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG bandar paling mahal di Asia Pasifik untuk milik atau sewa rumah privet

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Harga median rumah privet di Singapura ialah AS$1.2 juta (S$1.6 juta) pada 2022, tertinggi dalam kalangan bandar di Asia Pasifik, menurut laporan yang diterbitkan pada Selasa (30 Mei).

Dalam Indeks Pemilikan Rumah terbaru oleh Institut Tanah Bandar (ULI)  Pusat Perumahan Asia Pasifik, Singapura turut disenaraikan sebagai tempat paling mahal di rantau ini untuk menyewa rumah privet.

Dari segi kemampuan, harga median rumah privet di Singapura ialah 13.7 kali ganda pendapatan median isi rumah, berbanding 4.7 bagi flat Lembaga Perumahan Awam.  Singapura berada di kedudukan kedua bandar paling mampu milik di Asia Pasifik, selepas Brisbane, bagi perumahan awam dengan nisbah 4.5.

Laporan itu memberikan gambaran sejauh mana pemilikan rumah boleh dicapai di 45 bandar di sembilan negara di Asia Pasifik: Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Korea Selatan dan Vietnam.

Pada tahun lalu, harga median rumah dalam sektor swasta Singapura meningkat lebih 8 peratus, manakala harga median di Hong Kong jatuh 8.7 peratus, menurut laporan itu.

Tambahnya, kenaikan harga di Singapura disebabkan beberapa faktor termasuk kemasukan pendatang yang besar dan trend profesional muda yang berpindah ke rumah sendiri.

Selain itu, bekalan perumahan baru juga berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan gangguan yang disebabkan oleh COVID kepada rantaian bekalan bahan binaan dan buruh.

Pemerintah Singapura telah cuba menangani isu kenaikan harga dengan melaksanakan beberapa siri langkah untuk meredakan hartanah, yang terbaru  diperkenalkan pada April, termasuk langkah seperti menggandakan cukai pembeli untuk warga asing kepada 60 peratus.

Sebaliknya, harga rumah di Hong Kong jatuh dengan ketara, kembali kepada harga 2017. Ini disebabkan terutamanya oleh jumlah penduduk yang merosot dan kadar faedah gadai janji yang meningkat, kata laporan itu.

Harga median rumah di Hong Kong ialah AS$1.16 juta (S$1.57 juta), jatuh 8.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun,  Hong Kong mendahului dari segi harga setiap meter persegi. Harga median rumah bagi setiap meter persegi di Hong Kong ialah AS$19,768 (S$26,760) hampir dua kali ganda berbanding AS$10,715 (S$14,505) di Singapura. 

PEMILIKAN RUMAH

Dari segi pemilikan rumah, Singapura terus mempunyai kadar tertinggi hampir 90 peratus bagi perumahan awam dan swasta. Ini berikutan "komitmen konsisten pemerintah untuk membolehkan rakyatnya memiliki rumah pada harga berpatutan sejak tahun-tahun kemerdekaan negara pada 1960-an", kata laporan itu.

Harga median HDB meningkat daripada AS$379,000 (S$513,000) kepada AS$409,000 (S$553,000), peningkatan sebanyak 7.9 peratus, dan nisbah harga median HDB kepada pendapatan tahunan median meningkat daripada 4.5 kepada 4.7, kedua terendah dalam senarai tersebut.

Bagi rumah privet di Singapura, nisbahnya melonjak kepada 13.7.

Mendahului senarai itu ialah Shenzhen (35.0), diikuti Ho Chi Minh City (32.5). Nisbah Hong Kong ialah 26.5, jatuh mendadak daripada 30.5 tahun sebelumnya.

Menurut laporan itu secara amnya, pemilikan rumah dianggap tidak mampu dimiliki apabila nisbah median harga rumah kepada pendapatan isi rumah tahunan median melebihi lima. Mengikut piawaian ini, hanya flat HDB di Singapura dan unit apartmen di Melbourne dan Brisbane dianggap dalam kemampuan penduduk.

RUMAH SEWA

Purata sewa bulanan untuk hartanah privet Singapura adalah yang tertinggi dalam kalangan bandar yang ditinjau sebanyak AS$2,596 (S$3,514) - lonjakan hampir 30 peratus daripada tahun sebelumnya.

Laporan itu menyebut "peningkatan mendadak dalam bilangan penduduk hijrahan, projek pembinaan yang tertangguh dan bekalan hartanah sewa yang agak terhad sama ada milik institusi atau individu" sebagai faktor harga sewa lebih tinggi.

Kedua dalam senarai itu ialah Sydney, dengan purata sewa rumah AS$1,958 (S$2,650). Purata sewa bulanan di Hong Kong (angka median tidak disediakan) ialah AS$1,686 (S$2,282), jatuh sedikit daripada tahun sebelumnya.

Dari segi kemampuan, harga sewa median untuk rumah privet di Singapura ialah 35 peratus daripada pendapatan isi rumah.

Laporan itu juga menarik perhatian bahawa median sewa bulanan di Tokyo Ku (berbanding dengan kawasan luar bandar) dan Seoul, masing-masing ialah AS$602 (S$814) dan AS$689 (S$932), iaitu 25 peratus daripada Singapura dan sekitar 35 peratus berbanding di Hong Kong.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan