SG bandar ke-4 termahal di dunia bagi ekspatriat, ke-28 untuk penduduk tempatan
Singapura merupakan bandar keempat termahal bagi golongan ekspatriat, namun adalah yang ke-28 bagi penduduk tempatan, menurut kajian oleh para penyelidik dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.
Pemandangan latar langit Singapura. (Gambar fail: REUTERS/Caroline Chia)
Kajian itu, yang meneliti 45 bandar di Asia, Australasia, Eropah dan Amerika Utara, mendapati bahawa kos sara hidup ekspatriat lebih dipengaruhi secara langsung oleh perubahan inflasi global dan turun naik kadar pertukaran berbanding kos sara hidup penduduk tempatan.
Harga perumahan, perbelanjaan pengangkutan dan yuran sekolah antarabangsa merupakan pendorong utama kos tinggi bagi golongan ekspatriat, berdasarkan kajian tersebut.
Pada 2025, Singapura berada di tangga keempat daripada 45 bandar yang ditinjau bagi kos sara hidup ekspatriat, di belakang New York, Zurich dan Los Angeles.
Bagi penduduk tempatan, Singapura berada di tangga ke-28, menurut kajian itu.
Bagi golongan ekspatriat, bandar paling mahal kebanyakannya terletak di Amerika Utara dan Eropah Barat, kecuali Singapura dan Hong Kong.
Bandar di China itu berada di tangga ke-10 termahal bagi golongan ekspatriat dan ke-31 bagi penduduk tempatan.
Di Asia sahaja, Singapura merupakan bandar termahal bagi kedua-dua golongan ekspatriat dan penduduk tempatan. Hong Kong berada di tangga kedua.
Kajian itu meneliti kedudukan dari 2021 hingga 2025.
Singapura berada di tangga keenam termahal di peringkat global bagi golongan ekspatriat pada 2021, dan di tangga kelima dari 2022 hingga 2024.
Bagi penduduk tempatan, Singapura menduduki tangga ke-33 pada 2021, ke-30 pada 2022, ke-29 pada 2023 dan kekal di tangga ke-28 pada 2024 dan 2025.
Kajian itu mendapati bahawa di bandar-bandar yang berada di kedudukan lebih tinggi seperti Zurich, Singapura dan Hong Kong, faktor di luar pembangunan ekonomi serantau turut mendorong kenaikan kos sara hidup, dengan 10 bandar teratas juga mencatat harga perumahan paling tinggi.
Perumahan di Singapura merupakan yang keenam termahal bagi golongan ekspatriat daripada 45 bandar kesemuanya, tetapi berada di tempat ke-23 bagi penduduk tempatan.
Para penyelidik mengaitkan perbezaan tersebut dengan kebergantungan lebih besar para ekspatriat kepada pasaran sewa privet dan kondominium, berbanding penduduk tempatan yang boleh mengakses perumahan awam bersubsidi.
Kos pengangkutan dan pendidikan juga merupakan yang tertinggi di dunia bagi ekspatriat di Singapura, menurut kajian itu, dengan pemilikan kereta dianggap paling mahal disebabkan sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
Bandar yang paling murah bagi golongan ekspatriat banyak terletak di Asia Tenggara.
Bandar di rantau yang maju secara umumnya mempunyai kos sara hidup lebih tinggi dan semakin tidak mampu ditanggung, menurut para penyelidik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.