SG bakal tolak permohonan VEP, pembaharuan bagi kenderaan asing mulai 2 Nov jika denda masih tertunggak
Kenderaan berdaftar asing yang mempunyai saman tertunggak bagi pelbagai kesalahan yang dilakukan di Singapura tidak akan dibenarkan memohon atau memperbaharui VEP mulai 2 November. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Ia melibatkan kenderaan berdaftar asing yang belum melunaskan denda tertunggak bagi kesalahan trafik, meletak kereta atau pelepasan asap kenderaan yang dilakukan di Singapura.
Perubahan itu berbeza daripada amalan semasa, di mana kenderaan berdaftar asing dengan denda tertunggak hanya boleh dihalang daripada memasuki Singapura apabila tiba di pusat pemeriksaan darat, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan bersama pada Jumaat (15 Mei).
“Kenderaan berdaftar asing perlu melunaskan denda tertunggak sebelum memohon atau memperbaharui VEP dan memasuki Singapura,” menurut pihak berkuasa.
Pemandu asing juga dinasihati agar memeriksa sama ada mereka masih menanggung denda tertunggak di laman web AXS bagi memastikan proses permohonan VEP berjalan lancar.
Mereka perlu melunaskan denda tersebut dengan segera sebelum memohon atau memperbaharui VEP menerusi laman OneMotoring milik LTA, dan sebelum melakukan perjalanan ke Singapura.
Denda boleh dibayar di kios AXS atau menerusi laman web dan aplikasi mudah alih AXS. Para pemandu juga boleh membuat bayaran di laman web agensi berkaitan atau di kaunter khidmat pelanggan.
Pemandu yang memerlukan penjelasan mengenai kesalahan mereka boleh menghubungi agensi berkaitan seperti Polis Trafik, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan LTA.
MHA dan LTA turut mengingatkan para pemandu asing supaya membuat permohonan VEP sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh mereka ingin masuk ke Singapura.
Penyedia perkhidmatan pembayaran mungkin mengambil masa sehingga dua hari untuk memproses bayaran denda dan mengemas kini rekod dalam sistem agensi berkaitan.
Pemandu Singapura yang mempunyai denda trafik tertunggak di Malaysia turut diingatkan supaya menjelaskan denda mereka sebelum memasuki negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.