Skip to main content

Singapura

SG bakal tambah 61 lorong automatik di pusat pemeriksaan sempadan

Anggaran Waktu Membaca:
SG bakal tambah 61 lorong automatik di pusat pemeriksaan sempadan

Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos

Diterbitkan : 17 Feb 2023 01:44PM
SINGAPURA: Agensi kawalan sempadan Singapura sedang mempertimbangkan untuk memasang lagi 61 lorong automatik di pusat pemeriksaan pada 2023,
selain daripada 125 yang sudah dipasang tahun lalu.

Ia akan meningkatkan "kapasiti pelepasan" bagi mereka yang melakukan perjalanan.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan ICA dalam laporan statistik 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat (17 Feb).

Penyambungan semula sepenuhnya perjalanan antarabangsa pada tahun lalu menyebabkan peningkatan ketara dalam jumlah pelawat.

ICA menguruskan hampir 105 juta pelawat pada 2022, naik lebih 1,600 peratus daripada 5.9 juta pelawat pada tahun sebelumnya.

Semasa cuti sekolah bulan Disember, jumlah pelawat yang keluar masuk negara ini, hampir kembali ke paras sebelum COVID-19 di pusat pemeriksaan darat.

Agensi itu menyatakan, tahun lalu ia menguruskan lonjakan permohonan pasport yang "tidak pernah berlaku sebelum ini".

Ini disebabkan rakyat Singapura menangguhkan untuk memperbaharui pasport mereka yang telah tamat tempoh semasa sekatan perjalanan selama dua tahun pandemik melanda.

Lebih 1.25 juta pasport dikeluarkan pada tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 317 peratus daripada 300,000 yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah pasport yang dikeluarkan pada 2022 itu, 72 peratus adalah antara Mei dan Oktober, tambah ICA.

Bagi menangani lonjakan itu, agensi itu berkata ia mengerahkan pegawai dari unit kerja lain untuk membantu memproses permohonan pasport.

Pada April tahun lalu, Singapura mengumumkan bahawa pelancong yang sudah lengkap divaksin yang memasuki negara ini tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat, sebagai langkah awal untuk melonggarkan sekatan sempadan yang kini sudah dibatalkan sepenuhnya.

Laporan ICA itu juga menunjukkan bahawa jumlah barangan "bernilai rendah" - seperti pakaian, mainan dan kelengkapan sukan yang diperiksa kastam meningkat lebih 40 peratus pada 2022, "didorong penggunaan internet yang tinggi dan kemudahan membeli-belah online".

Jumlah keseluruhan kontena dan bungkusan yang diberi pelepasan kastam pada 2022 adalah sebanyak 9.7 juta iaitu merosot 10.5 peratus daripada 2021.

ICA juga memperkenalkan pelepasan tanpa kertas untuk kenderaan kargo biasa di pusat pemeriksaan udara dan pelabuhannya sejak Januari 2023. Proses baru itu dipanggil Modul Kargo Kad Ketibaan SG dan berjaya mengurangkan masa pelepasan lebih dua minit bagi setiap kenderaan, kata agensi itu.
Sumber : CNA/LL/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita