Skip to main content

Singapura

SG bakal tambah 40% tenaga kerja kawalan trafik udara, tawar bonus penyertaan S$20,000 kepada kakitangan baharu

Untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat serta membuat persiapan bagi pembukaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menambah tenaga kerja kawalan trafik udara sekitar 40 peratus dalam tempoh sedekad akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
SG bakal tambah 40% tenaga kerja kawalan trafik udara, tawar bonus penyertaan S$20,000 kepada kakitangan baharu

Bahagian dalam Menara Kawalan Lapangan Terbang Changi pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 09:01PM
  • CAAS merancang menambah pengawal trafik udara sekitar 40 peratus menjelang pertengahan 2030-an untuk memenuhi permintaan penerbangan yang meningkat dan persiapan Terminal 5 Changi.
  • Bonus penyertaan S$20,000 akan ditawarkan kepada pengawal trafik udara baharu bermula 2026, selain gaji permulaan yang kompetitif dan peluang kenaikan pendapatan selepas berpengalaman.
  • CAAS memperkenalkan program ijazah sarjana muda khusus, biasiswa, dan latihan profesional untuk menarik serta membangunkan bakat tempatan dalam bidang kawalan trafik udara.
  • Pusat pembangunan kejuruteraan dan tambahan elaun untuk pelajar PhD turut diwujudkan bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi dalam pengurusan trafik udara Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat serta membuat persiapan bagi pembukaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menambah tenaga kerja kawalan trafik udara sekitar 40 peratus dalam tempoh sedekad akan datang.

CAAS pada Rabu (22 Jul) menyatakan ia merancang untuk meningkatkan jumlah pengawal trafik udara daripada sekitar 500 orang ketika ini kepada kira-kira 700 orang menjelang pertengahan 2030-an. Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menaik taraf perkhidmatan navigasi udara Singapura bernilai S$4 bilion dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Bagi menarik lebih ramai rakyat Singapura untuk menyertai kerjaya tersebut, CAAS turut mengumumkan bonus penyertaan sebanyak S$20,000 untuk semua pegawai kawalan trafik udara baharu. Bonus yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 itu merupakan tambahan kepada pakej pendapatan sedia ada.

Bonus tersebut akan dibayar melalui dua bayaran yang sama rata – selepas melengkapkan latihan teori dan simulator selama 10 bulan, dan selepas mendapatkan lesen kawalan trafik udara, lazimnya kira-kira 18 bulan selepas menyertai bidang kerjaya tersebut.

Lulusan universiti baharu yang menyertai kerjaya itu akan menerima gaji permulaan sekitar S$64,000 setahun, manakala pemegang diploma akan menerima sekitar S$49,000 setahun.

Selepas memperoleh lesen, semua pegawai baharu akan ditempatkan di bawah skim perkhidmatan yang sama tanpa mengira kelayakan akademik. Mereka boleh memperoleh sekitar S$120,000 setahun selepas menimba pengalaman selama lima tahun.

Pengawal trafik udara CAAS menguruskan sekitar 2,000 penerbangan setiap hari, termasuk 1,000 penerbangan dari dan menuju ke Lapangan Terbang Changi.

Merujuk kepada unjuran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), CAAS menyatakan jumlah penumpang udara dijangka meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh 25 tahun akan datang, dengan rantau Asia Pasifik menyumbang separuh daripada pertumbuhan tersebut.

"Penyedia perkhidmatan navigasi udara perlu membina kapasiti dan keupayaan untuk mengurus ruang udara dengan lebih baik, seiring dengan pelaburan dalam prasarana lapangan terbang di darat," kata CAAS.

"Sebagai sebuah hab penerbangan utama, Singapura akan terus melabur dalam keupayaan perkhidmatan navigasi udara bagi memastikan penerbangan kekal selamat, cekap dan mampan di seluruh rantau ini sedang permintaan terus meningkat."

PERLUAS TENAGA KERJA

Selain bonus penyertaan, CAAS turut mengumumkan beberapa inisiatif lain untuk mengukuhkan usaha pengambilan tenaga kerja.

Antaranya termasuk rancangan memperkenalkan program ijazah sarjana muda baharu dengan pengkhususan dalam bidang kawalan trafik udara, yang dibangunkan bersama sebuah universiti tempatan yang akan diumumkan kemudian.

Program tersebut akan menggabungkan pengajian ijazah dengan latihan kawalan trafik udara, sekali gus membolehkan para pelajar memperoleh ijazah dan lesen menerusi laluan yang dipercepatkan.

CAAS turut memperkenalkan biasiswa sarjana muda dalam bidang kawalan trafik udara bagi menarik rakyat Singapura yang mempunyai kebolehan teknikal dan potensi kepimpinan. Biasiswa pertama telah diberikan awal tahun ini.

Para penerima biasiswa akan menjalani latihan profesional kawalan trafik udara dan berpeluang melibatkan diri dalam projek-projek antarabangsa bagi meningkatkan keselamatan penerbangan serta pengurusan trafik udara. Ini termasuk penempatan di Misi Tetap Singapura ke ICAO di Montreal, Kanada, dan pertubuhan penerbangan lain.

Pada Ogos nanti, CAAS akan melancarkan Program Pengurusan Bersekutu Kawalan Trafik Udara yang menyasarkan graduan baharu dengan pengalaman kerja sehingga dua tahun yang berminat dalam kerjaya kepimpinan kawalan trafik udara dan penerbangan.

CAAS juga akan menubuhkan sebuah pusat pembangunan kejuruteraan bagi memperkukuh keupayaan kejuruteraan dalam perkhidmatan navigasi udara. Pusat itu akan memberi tumpuan kepada penyesuaian dan penambahbaikan sistem mengikut keperluan khusus Singapura.

Secara berasingan, pihak berkuasa juga akan menyediakan tambahan elaun kepada para pelajar PhD tempatan di bawah Skim Biasiswa Penyelidikan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan Singapura dalam bidang pengurusan trafik udara.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita