SG bakal lancar Perkongsian Strategik Komprehensif dengan New Zealand
Singapura akan melancarkan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dengan New Zealand, sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon (kiri) dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bergambar bersama pemimpin-pemimpin lain sempena Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru pada 16 November 2024. (Gambar: AP/Fernando Vergara)
Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura membuat pengumuman itu pada Isnin (15 Sep) sebagai maklum balas kepada ucapan pembukaan Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa Parlimen ke-15 dirasmikan awal bulan ini.
Dalam ucapannya, Presiden Tharman berkata Singapura mesti menyesuaikan diri dengan “perubahan asas” dalam ekonomi global.
Ini memandangkan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pelaksanaan langkah perlindungan dagangan dan gangguan teknologi menjejas kedudukannya sebagai sebuah hab global.
Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pada Isnin bersetuju, sambil menegaskan bahawa dasar luar Singapura mesti menyesuaikan diri dengan pantas terhadap realiti yang sedang berubah.
Menurut beliau, dunia kini sedang beralih ke satu era yang dibelenggu gangguan terhadap perdagangan global, persenjataan alat ekonomi, peningkatan risiko konflik, kelemahan hubungan pelbagai hala, persaingan kuasa besar yang semakin ketara serta perubahan teknologi yang pesat.
“Perubahan ini menimbulkan cabaran serius bagi Singapura, di mana penakatan dan kemajuannya bergantung kepada perdagangan bebas, akses kepada rantaian bekalan global dan peranan kita sebagai hab perniagaan dan logistik,” kata beliau.
Dr Balakrishnan berkata, bagi kekal relevan dan dipercayai, MFA akan mengekalkan hubungan yang konsisten dan pragmatik dengan semua negara; mengukuhkan peranan Singapura sebagai rakan kongsi yang berwibawa dan boleh dipercayai; serta menjaga kepentingan rakyat Singapura di luar negara dan membina sokongan domestik bagi dasar luar negara.
Selain bekerjasama rapat dengan negara jiran dan rantau Asia Tenggara, MFA akan mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan China serta memperluas “lingkaran sahabat” Singapura.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perkongsian sedia ada, Singapura dan New Zealand akan memeterai CSP, kata Dr Balakrishnan.
CSP merupakan perjanjian yang menandakan peningkatan hubungan dua hala ke tahap tertinggi, untuk memperdalam bidang kerjasama sedia ada di samping meneroka bidang baharu.
Kedua-dua negara sebelum ini meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Dipertingkat (EP) pada Mei 2019, dengan inisiatif kerjasama dibangunkan merentasi empat tonggak: Perdagangan dan ekonomi; keselamatan dan pertahanan; sains, teknologi dan inovasi; serta hubungan antara rakyat.
Tonggak berhubung perubahan iklim dan ekonomi hijau ditambah pada 2022.
Pada 2024, para pemimpin kedua-dua negara mengumumkan satu lagi tonggak baharu bagi mengukuhkan rantaian bekalan, semasa lawatan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Singapura.
Encik Luxon berkata dalam satu sidang media ketika itu bahawa negaranya dan Singapura berkongsi pandangan yang sama mengenai isu serantau dan global, serta sudah menjalin hubungan muhibah selama beberapa dekad.
Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong, berkata kedua-dua negara bersetuju memulakan rundingan rasmi bagi satu perjanjian untuk memudahkan perdagangan barangan penting dan mengurangkan gangguan semasa krisis.
Sekitar setahun selepas lawatan Encik Luxon, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata dalam ucapannya bahawa New Zealand merupakan salah satu negara “sehaluan”, dengan perkongsian strategik yang perlu diperdalam dan diperluaskan dengan Singapura.
Singapura kini turut mempunyai CSP dengan negara-negara lain termasuk Australia, India dan Vietnam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.