SG bakal anjur lebih banyak acara mega pada 2025, kukuhkan kedudukan sebagai destinasi pilihan utama

Penyanyi Taylor Swift membuat persembahan di Nashville, Tenn., pada 5 Mei 2023. (Gambar fail: George Walker IV/AP)
SINGAPURA: Singapura akan terus menganjurkan acara besar-besaran tahun depan, sedang negara ini merancang untuk meningkatkan kedudukannya sebagai destinasi bagi acara berprofil tinggi dan membuka peluang pemacu ekonomi itu.
Negara ini menyaksikan pelbagai acara sepanjang tahun, termasuk konsert bertaraf tinggi oleh artis terkenal seperti Coldplay, Taylor Swift, Ed Sheeran, Bruno Mars dan Jay Chou.
Lebih 300,000 tiket dijual untuk enam persembahan Taylor Swift yang laris dijual pada Mac, sekali gus menarik peminat seluruh dunia. Singapura merupakan satu-satunya perhentian bagi jelajah Era penyanyi itu di Asia Tenggara.
Penyanyi lain juga mengadakan konsert besar-besaran di Singapura. Sabagai contoh, Ed Sheeran, yang mengadakan persembahan terbesarnya di Asia, dengan 60,000 penonton menghadirinya pada Februari.
Resit pelancongan buat enam bulan pertama tahun ini mencatat S$14.9 bilion, naik 19 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu, dedah data daripada Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
PACU PELANCONGAN SINGAPURA
Dalam 10 bulan pertama tahun ini, Singapura menerima 13.9 juta pelancong antarabangsa, dengan peningkatan 23 peratus setahun.
Lonjakan pada aktiviti pelancongan sebahagiannya disebabkan strategi pemerintah untuk melaksanakan acara yang memikat minat dan penonton yang berbeza, dengan rancangan untuk menganjur lebih banyak acara tahun depan.
Cik Ashlynn Loo, pengarah tarikan, hiburan dan pembangunan konsep pelancongan di STB berkata, ketersambungan serantau dan keselamatan di Singapura menjadikannya destinasi yang menarik untuk persembahan dan acara besar-besaran, termasuk perlumbaan malam tahunan F1, yang mengumpul persembahan tempatan dan antarabangsa.
Syarikat rantaian bekalan DP World, yang merupakan rakan logistik pasukan F1 McLaren, menyatakan prasarana bertaraf dunia Singapura dan prosedur kastam yang cekap membuat negara ini destinasi sesuai untuk acara berperingkat tinggi.
TAWAR PENGALAMAN SG YANG UNIK
Hab Sukan Singapura, yang menganjurkan pelbagai persembahan tahun ini, menyaksikan jumlah penonton melonjak 50 peratus berbanding tahun lalu.
Kawasan Kallang Alive di sekitar lokasi itu juga menawarkan penonton konsert lebih banyak pilihan untuk menikmakti
acara yang dianjurkan.
Sedang acara sukan antarabangsa seperti Kejohanan Ragbi Tujuh Singapura diadakan di Hab Sukan Singapura, acara masyarakat tempatan seperti Sukan Sekolah Nasional (NSG) juga diadakan di arena tersbeut.
Ia juga digunakan sebagai ruang untuk masyarakat berkumpul bersama, seperti ketika ia digunakan untuk menganjur acara keagamaan diketuai Pope Francis pada September.
Pelan Induk Kallang Alive akan menambah ruang tertutup yang dapat menampung 18,000 orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.